Yakin yang Betul akan Mendatangkan Rezeki yang Berkat

 

Ini sebuah kisah mengenai seorang budak yang keluar dari kampungnya dan pergi ke bandar. Di bandar, dia melihat orang membuka pili air. Maka, keluarlah air. Semua tempat yang dia pergi, semuanya begitu. Buka pili air, maka keluarlah air. Dia pun terfikir bahawa air keluar melalui pili. Maka, dia pun membeli beberapa batang pili dan dibawa pulang ke rumah.

Kemudian, dia pun memasang pili itu pada dinding rumahnya. Dibukanya pili itu. Dia hairan,mengapa air tidak keluar. Semua pili yang dibelinya, tiada yang dapat mengeluarkan air. Keesokan hari, dia pergi ke kedai yang menjual pili kepadanya. Dia memarahi tauke kedai itu dan meminta supaya memberikannya pili yang dapat mengeluarkan air. Mereka bertengkar. Akhirnya, seorang lelaki datang dan menyelesaikan masalah mereka. Lelaki itu memberitahu budak tersebut bahawa, bukan pili yang mengeluarkan air. Sebenarnya air itu datang dari tangki dan bersambung kepada kepada pili melalui paip. Pasanglah berapa banyak pili sekalipun, jika tiada paip dan tangki, air tidak akan keluar.

Ini hanyalah satu contoh, bagaimana manusia tidak memahami hakikat rezeki yang sebenar. Manusia menyangka bahawa rezeki datang dari tempat kerja, dari kedai, dari pejabat, dari pasar dan sebagainya. Namun, manusia lupa bahawa rezeki sebenarnya datang daripada Allah. Usahalah macam mana sekalipun, jika tidak kena caranya dan tidak tahu siapa pemberi rezeki yang sebenar, maka tidak akan dapat manfaat daripada apa yang diusahakan. Jadi, asbab kena betul dan yakin pun mesti betul. Yakin hanya pada Allah dan berikhtiar sebagai satu sunah.

Namun harus diingat, Allah boleh bagi apa-apa sahaja bersama-sama asbab atau tanpa asbab. Kudrat Allah tidak bergantung pada asbab. Tanpa asbab pun Allah boleh bagi makan pada ulat di dalam batu. Tanpa asbab pun, Allah SWT boleh ‘lahirkan’ Nabi Isa tanpa ayah. Tanpa asbab, Allah boleh ciptakan Nabi Adam dan Hawa tanpa ibu dan ayah. Allah Maha Hebat!

Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari daripada ikhtiar. Ikhtiar itu bolehlah dikatakan sebagai asbab sahaja, bukan hakikat. Hakikat pemberi rezeki adalah milik Allah yang mutlak. Allah tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana kerajaan untuk menyalurkan rezeki kepada rakyat. Allah tidak pernah menandatangi MoU dengan mana-mana bank untuk mengurniakan rezeki kepada orang ramai. Allah SWT Maha Kaya. Dia beri makan kepada trilion hidupan liar di tengah hutan belantara yang tebal. Dia beri makan kepada trilion ikan-ikan di dasar laut yang terbawah. Semuanya urusan Allah. Kita hanyalah hamba yang kerdil yang sentiasa memerlukan-Nya.

Dalam al-Quran Allah SWT ada menyebut mengenai dua orang lelaki yang kaya iaitu Nabi Sulaiman a.s. dan Qarun. Namun, kedua-dua mereka mempunyai keyakinan yang berbeza. Apabila Qarun dipuji mengenai kekayaannya, maka dia menjawab, “Ini semua hasil usaha aku.” Tetapi, apabila Nabi Sulaiman a.s. dipuji mengenai pemerintahannya yang agung yang meliputi jin, manusia dan binatang, baginda hanya menjawab, “Ini semua kurniaan Allah.” Berbeza, bukan? Seorang merasakan bahawa dialah yang menentukan rezeki untuk dirinya tetapi seorang lagi memuji Pemberi rezekinya.

Mungkin ada orang yang protes, “Memang Allah yang beri rezeki tetapi kita kena kerja.”

Jawapan daripada saya, “Memang kita kena bekerja tetapi sebenarnya Allah yang beri rezeki.”

Jawapan kami bukanlah untuk menyuruh anda berhenti kerja dan duduk sahaja menunggu rezeki datang bergolek. Tidak sama sekali. Jawapan di atas adalah untuk membetulkan yakin dan membuang segala keyakinan yang salah. Saya sering diingatkan mengenai satu perkara, ‘Yakin pada asbab jadi syirik tetapi tolak asbab jadi kufur.’ Wallahua’lam

****Jika berminat untuk mendapatkan e-book ini, sila SMS 019-4702839. RM 20 sahaja

Jemput SHARE artikel ini di FB

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge