Route to IPB

routetoIPB_front
Pertama Kali
Buat pertama kalinya dalam hidupku, daku berada jauh di negara asing. Di bumi permata hitam, tempat lahirnya  kambing-kambing putih’ di kalangan  kambing-kambing hitam’. Tempat berkembangnya umat Islam di tengah-tengah penganut Hindu. Buat pertama kalinya juga, aku sempat terbang tinggi di angkasa raya. Betapa kecilnya bumi dan luasnya langit. Semuanya di bawah pentadbiran Rabbul Izzati. Semakin tinggi sayapku terbang, semakin hilang lukisan bumi daripada pandangan. Hanya kelihatan kepulan-kepulan awan di kiri dan kanan kapal terbang.
            Sebelum tiba di New Delhi, aku dan rakan-rakan transit dahulu di Bangladesh Airport. Hendak bandingkan Dhaka dengan KLIA, bagaikan banglo dengan dangau. Tapi, orangnya baik-baik.
            Kami selamat tiba di Airport New Delhi ketika matahari telah rebah ke Barat. Terus sahaja kami menyewa teksi sehingga sampai ke Nizamuddin. Setibanya di sana, kami disambut oleh istiqbal dengan sedikit jamuan ala-ala India.
            Setelah solat jamak Isyak dan Maghrib, semua tetamu Allah di Masjid Bangla Wali dihidangkan dengan bacaan Kitab Hayatus Sahabah oleh Maulana Saad – The 42th years old ulama and the lead of fikirman of the world right now. Aku pernah diberitahu bahawa salasilahnya berasal dari Negara Arab dan mempunyai pertalian darah dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Aku tidak menyangkal dakwaan itu kerana pernah melihat catatan salasilahnya dalam sebuah buku keluarganya yang tersimpan dalam perpustakaan di rumah Maulana Ilyas rah iaitu moyang beliau. Ada seorang rakan aku mengambil gambar salasilah itu menggunakan telefon bimbitnya.
Malam Yang Singkat, Siang Yang Panjang
MALAM yang singkat. Azan Subuh berkumandang seawal pukul 4.00 pagi dan bisa mengajar aku menghargai waktu malam yang panjang di Malaysia. Tentu rakyat Malaysia cukup tidur kerana Allah mengurniakan waktu malam lebih daripada lapan jam setiap hari. Berlainan di sini, waktu siangnya lebih panjang dan pendek waktu malamnya.
            Seusai solat Subuh, kami dan para tetamu yang lain dicuci hati lagi dengan bayan Subuh, juga daripada Maulana Saad. Bayannya panjang, hampir dua hingga tiga jam. Percakapannya, atas langit bawah bumi. Jika kami tidak insaf juga, tidak tahulah!
            Sejurus sarapan pagi, kami melalui waktu pagi yang panjang kerana azan Zohor berkumandang pada jam 2.30 petang. Kesempatan itu, para jemaah memenuhinya dengan membaca Al-Quran, bersolat Dhuha dan bersembang-sembang dengan tetamu dari negara-negara lain. Pokok pangkalnya bicara, atas langit bawah bumi. Sudah lama bercakap perihal dunia, hati menjadi gelap. Jadi, kegelapan hati itu harus dicerahkan dengan percakapan atas langit bawah bumi.
            24 jam di sini, penuh dengan pengisian rohani dan jasmani (makan). Makanannya pula sentiasa cukup walaupun tetamu beribu-ribu orang datang tidak kira siang atau malam. Kami tidak ada pilihan untuk makan nasi lemak kerana di sini tidak ada nasi lemak. Apatah lagi hendak merasa Western Food. Menu kami hanya roti nan dan nasi daging. Semuanya disediakan oleh petugas-petugas yang telah menginfakkan diri mereka untuk berkhidmat di markaz itu. khidmat melayan tetamu.
            Di markaz merangkap masjid ini, aku melihat kebesaran Allah yang sebelum ini tidak terfikir oleh akal. Di dalam bangunan yang berkat ini, terhimpun pelbagai bangsa dari pelbagai negara. Semuanya datang ke sini untuk satu tujuan. Belajar buat dakwah dengan cara yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dan Para Sahabat rhum.
            Aku pernah mendengar satu cerita mengenai masjid yang sudah menjadi markaz ini. Cerita ini berlaku lebih setengah abad yang lalu. Dahulunya, ketika Maulana Ilyas rah mahu membina masjid ini, petugas-petugas ketika itu hanya membina sebuah masjid yang kecil, cuma dua saf sahaja. Maulana menegur, “Mengapa kamu bina kecil sangat? Mana cukup untuk menampung tetamu nanti.”
Seperkara lagi, Maulana Ilyas bercita-cita supaya membina masjid yang besar supaya dapat menempatkan orang Islam dari Eropah, Amerika dan seluruh pelusuk dunia. Beberapa orang India mentertawakannnya, “Adakah Maulana sudah gila? Mana mungkin orang luar akan datang ke sini. Orang di kampung ini pun tidak datang ke sini.”
            Apa yang menjadi cita-cita Maulana itu terbukti pada hari ini. Memang benar, aku telah menyaksikan sendiri bahawa apa yang dikatakannya itu berlaku. Ketika aku tiba di sini, masjid itu sudah dibina lima tingkat dan aku dan tetamu dari luar India duduk di tingkat tiga. Bukan setakat itu, setiap masa di sini dipenuhi dengan amalan yang disukai Allah. Hati ini merasa insaf melihat orang lain beramai-ramai bangun untuk qiamullail, menangis-nangis menadah tangan ke hadrat Allah. Berdoa supaya Allah sebarkan hidayah-Nya ke seluruh alam. Sedangkan aku, baru hendak belajar-belajar menitiskan air mata. Betapa masih tersisa kekerasan pada hatiku dek telah lama ditarbiah’ oleh dunia.
            Hari demi hari, hati ini semakin terasa lembutnya. Hati aku terkesan dan gembira dapat makan bersama-sama Muslimin dari Amerika, Perancis, Sri Lanka, Afrika, England dan Palestin (di Palestin ada enam dan di Israel ada tiga markaz dakwah – jangan fikir orang dakwah tidak simpati dengan nasib orang Palestin – simpati dan usaha tetap ada – cuma tidak perlukan populariti dan gembar gembur media massa – usaha dijalankan setiap masa sehingga masjid dipenuhi orang Islam pada waktu Subuh seperti solat Jumaat – maka tatkala itu Yahudi sendiri yang akan menyerahkan kunci Baitul Muqaddis tanpa pertumpahan darah – Insya-Allah).
Kami tidur dengan niat iktikaf pula bersama-sama Muslimin dari Oman, Arab Saudi, Yaman, Thailand, Indonesia dan lain-lain. Setiap hari ada orang datang dan setiap hari ada orang keluar. Aku, kami dan mereka datang ke sini dan berpisah dari sini hanya untuk belajar sesuatu yang boleh mendapatkan cinta Allah iaitu menghubungkan manusia dengan Allah melalui dakwah. Barulah aku faham mengenai satu ayat, “hablum minallah wa hablumminannas.” Menghubungkan diri dengan Allah dan menghubungkan diri dengan manusia.
Hakikat Kehidupan Hanyalah Kereta Api
EMPAT hari di Nizamuddin, akhirnya aku dan rakan-rakan ditugaskan’ untuk ke sebuah tempat yang bernama Latur di daerah Maharashtra. Dalam jemaah kami, ada orang Malaysia seramai 10 orang dan seorang warga India yang menjadi amir jemaah. Beliau berasal dari sebuah kampung bernama Mewat, tempat pertama Maulana Ilyas memulakan dakwahnya. Orang Mewat suatu ketika dahulu hidup dalam kejahilan (jahil murokkab – jahil berlapis-lapis) sehingga Maulana terpaksa memujuk mereka selama bertahun-tahun sebelum jemaah pertama tiga hari dapat dibentuk. Bermula detik itu, mereka mula keluar daripada belenggu kejahilan itu sehingga lahirnya ramai ulama dan hafiz dari kampung itu. Hebatnya Allah!
            Latur itu hampirnya dengan Mumbai tetapi apabila aku bertanya mereka, adakah mereka kenal Shah Rukh Khan, mereka jawab, “Nahi (Tak tahu).” Sebenarnya, mereka pun tidak tahu apakah agama sebenar Shah Rukh Khan. Entah bagaimana dia boleh diangkat sebagai ikon dunia Islam. Sangat memalukan agama!
            Sebelum sampai ke sini, kami terpaksa bersiang dan bermalam di atas kereta api selama 30 jam – satu keadaan yang sangat mujahadah. Bayangkan, kereta api India bukannya seperti komuter atau KTM di Malaysia. Lubang najisnya, jika berak, tahi akan terus jatuh ke atas landasan. Sebab itulah dinaikkan amaran, “Jangan buang air besar ketika kereta api sedang berhenti di stesen..”
            Tempat berwuduk tidak ada. Terpaksalah tadah air dari tandas menggunakan lota (menyerupai cerek plastik) dan berjimat-cermat untuk berwuduk. Terpaksa juga solat di celah-celah tempat duduk kerana tidak ada surau dalam kereta api. Mujurlah kami bermazhab Syafie, boleh buat solat qasar dan jamak. Dalam mazhab Hanafi, tidak ada solat jamak, hanya ada solat qasar. Mujahadah ini mengajar aku erti bersyukur dengan nikmat keselesaan yang aku nikmati di Malaysia.
            Tatkala kereta api berhenti di setiap stesen, akan naik ke atas kereta api itu peminta sedekah dan salesman jualan langsung. Apa yang unik bagi aku ialah cara mereka meminta sedekah. Mereka akan naik ke atas kereta api sambil membawa penyapu. Kemudian, mereka akan membersihkan lantai kereta api itu. Barulah ada orang yang dermawan akan menghulurkan sedekah. Inilah sebahagian daripada golongan marhaen yang terpaksa hidup menjadi fakir kerana di negara ini, jurang pemisahan antara golongan miskin dan kaya sangat ketara. Orang kaya bertambah kaya, orang miskin bertambah miskin. Feudalisme!
            Kami makan apa yang dibeli oleh amir kami setiap kali kereta api berhenti di stesen. Hanya dia yang kami harapkan untuk membeli makanan yang halal. Kami tidak tahu. Ini tempat orang. kami makan apa sahaja yang dibeli. Tidak boleh mengada-ngada minta KFC atau McDonald’s.
            Perjalanan di atas kereta api ini adalah sebuah simulasi kepada sebuah realiti kehidupan manusia. Semua manusia sebenarnya dalam perjalanan menuju ke sebuah destinasi sama ada syurga atau neraka. Terkadang, manusia berhenti seketika di stesen untuk memenuhi keperluan mereka. Berhenti sekejap sahaja, jangan lama-lama, nanti ketinggalan. Stesen itu bukan destinasi kita. Tapi, berapa ramai manusia yang leka sewaktu sampai di stesen yang sementara itu?
            Perjalanan ini berlalu bersama-sama perubahan musim. Semakin menuju ke Selatan, cuaca semakin panas. Inilah hakikat kehidupan, hanya sebuah perjalanan. Betapa susah pun hidup, dunia bukan destinasi yang hakiki. Jadi, mengapa masih ramai yang leka menghias  kereta api’ atau  tempat duduk” atau  katil’ cantik-cantik sedangkan mereka bukan hendak tinggal di sini untuk selama-lamanya?
            Aku juga belajar menghargai nilai iman apabila terlihat orang bukan Islam yang fakir. Sudahlah di dunia mereka mengemis, akhirat juga mereka akan mengemis. Rugi dua kali. Beruntungnya jadi orang Islam. Tapi, orang Islam perlu menjaga imannya. Di mana sahaja, solat mesti dikerjakan. Walaupun kereta api bergoyang, jangan sampai iman bergoncang. Jika tidak, samalah saja dengan si kafir yang fakir tadi.
            Di balik tirai besi jendela kereta api, aku lihat bumi Tuhan yang kering kontang. Tanah-tanah kekeringan, sungai-sungai kekontangan. Rumah-rumah tidak ubah seperti pondok buruk. Masihkan keras hatiku melihat kemiskinan ini? Menangislah wahai hati, menitislah wahai air mata, sudah berapa banyak nikmat Tuhan yang tidak aku syukuri.
routetoIPB_back
Hati Lebur Kerana Sifat
KERETA API hanya mampu membawa kami sehingga ke Parbhani. Pada malam tersebut, kami bermalam di markaz Pharbani. Keesokan pagi, barulah kami meneruskan perjalana ke Latur dengan menaiki jeep. Di dalam jeep tersebut, kami terpaksa berhimpit-himpit bagaikan ikan dalam tin sardin. Jalannya pula berlopak-lopak dan tidak sesempurna jalan di tanah airku. Tapi, ada sesuatu yang mencuit hati aku.
            Perjalanan itu memakan masa tiga jam. Bayangkan, tiga jam berada di dalam  tin sardin’! Sehingga berkematu punggung aku. Lebuhraya di sini sama sahaja dengan jalan raya di kampung aku. Plaza tol tetap ada tetapi hanya sekadar pondok kecil yang dipasang penghadang di tengah jalan. Sangat old-school punya tol.
            Sesampainya di markaz Latur, deretan buah mangga sedang menguning. Kanak-kanak menyambut kami dengan riang seolah-olah bintang filem. Kami ditempatkan di bilik tetamu. Aku berbual-bual dengan mereka dalam bahasa Inggeris dan diselang seli dengan bahasa Urdu yang aku tahu sikit-sikit. Aku gembira melihat mereka yang sangat minat dengan dakwah walaupun masih kecil. Pada malam itu, markaz Pharbani menjadi saksi seorang rakan aku menyampaikan bayan Maghrib dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh amir kami ke dalam bahasa Urdu.
            Kejayaan ikan-ikan ialah apabila berada di dalam air. Jika ikan-ikan keluar daripada air, maka mereka akan mati. Kejayaan cacing-cacing ialah apabila berada di dalam tanah. Jika cacing-cacing itu keluar daripada tanah, maka mereka akan kepanasan. Begitulah kejayaan manusia, hanya dalam agama. Mentaati setiap perintah Allah dan menuruti segala sunnah Rasulullah s.a.w. Jika manusia cuba keluar dari agama, maka mereka akan sengsara!
            Sepanjang aku dan rakan-rakan keluar di sini, sebenarnya kami belajar untuk membiasakan diri supaya bangun awal sebelum Subuh dan berada dalam saf sebelum azan. Mukmin itu khalifah. Khalifah perlu mendahului. Jika menunggu ayam jantan berkokok baru bangun, malulah dengan ayam itu. Suasana masjid yang kami lalui hari-hari membuatkan hati ini rasa terpaut dengan-Nya. Aku mahu menjadi pemuda yang hatinya terpaut pada masjid, salah satu golongan yang Allah lindung di bawah Arasy pada Hari Qiamat. Insya-Allah!
            Selepas solat Subuh, hati ini disiram lagi dengan bayan Subuh. Selepas solat, kami dijamu pula oleh Muslimin di situ dengan hidangan yang istimewa. Aku tidak tahu bahawa sebenarnya keluarga mereka di rumah belum makan tetapi mereka mahu mendahulukan tetamu. Mereka hanya makan daripada lebihan yang kami makan. Sungguh tinggi sifat memuliakan tetamu yang tersemat dalam sifat mereka. Aku pasti tidak mampu melayan seperti itu. Astaghfirullahalazim.
            Bukan sekadar menjamu makanan yang enak-enak bahkan pakaian kami pun mahu dicucinya dengan percuma. Allahuakbar! Inilah sebenarnya yang Allah hendak tunjukkan kepada aku. Sifat orang Ansar. Orang Ansar yang sentiasa membantu orang Muhajirin. Apabila Ansar dan Muhajirin bersatu-padu, maka keluarlah cahaya hidayah yang pancarannya menerangi seluruh alam. Subhanallah!
            Cuaca di sini sangat panas sehingga 42 darjah Celcius. Setiap hari, berbotol-botol air mineral habis diminum. Kulit menjadi kering, bibir pecah dan tahi hidung menjadi keras. Betapa hebatnya kuasa Allah. Dalam panas-panas seperti ini, Dia keluarkan buah mangga yang masak ranum untuk menyejukkan badan. Orang di sini panggil buah mangga sebagai King Of Fruit tetapi kami katakan, King of Fruit kami adalah buah durian.
            Musim panas kian berlalu pergi, musim hujan datang ke mari. Mangga yang dahulunya besar, semakin lama semakin kecil. Lama-lama tiada lagi. Orang kaya hidup sederhana, orang miskin hidup gembira, semuanya dalam agama. Tatkala senja menjelang tiba, aku menadah tangan memohon doa. Ya Allah, kau peliharalah seluruh hamba-Mu di dalam agama ini.
Akhirnya, Menitis Juga Air Mataku
SELAMA sebulan di Latur, pelbagai pengalama ditempuh. Semuanya tertulis 50 000 tahun sebelum dunia ini dicipta. Tidak disangka, rezeki aku ada di situ. Apa yang diharapkan adalah penerimaan Allah terhadap usaha ini. Mudah-mudahan, aku mati di dalam iman yang sempurna.
            Perjalanan pulang dari Latur ke Parbhani ke New Delhi lebih kurang sama seperti datangnya. Cuma, kami merentas musim yang berbeza-beza. Sawah ladang mulai menghijau. Sungai-sungai mula mengalir. Semalaman hujan dalam perjalanan. Tak sedar titisan hujan membasahi pipi. Tak pasti itu titis hujan atau air mata.
            Allahuakbar! Hebatnya hidayah-Mu!
dua2
Dapatkan kedua-dua buku ini pada harga RM 40 (semenanjung) dan RM 44 (sabah/sarawak).
Harga adalah termasuk pos.
Sebarang pertanyaan, sila Whatsapp 019-4702839 atau emel: khairitajudin@gmail.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

2 Responses

  1. Ibnu Hatari says:

    masyaAllah, cerita yg hebat yg bakal hangat dikalangan para bidadari2!<br /><br />tahniah tuan kerana berjaya keluar 4bulan dijalan Allah..mmg pilihan Allah. doakan sy agar dpt keluar spt tuan 🙂

  2. mengamit hati yang mati, menyuburkan hati yang tengah layu disirami dosa dan noda. moga novel2 sebegini dapat di kehadapankan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge