Tok Guru Berkepala Himar

Ada seorang tok guru yang mengajar ribuan orang anak murid. Walaupun anak muridnya ramai tetapi tiada seorang pun yang pernah melihat wajahnya. Ini kerana, ketika beliau mengajar, beliau menutupi wajahnya dengan kain. Perkara tersebut telah menimbulkan keraguan kepada anak-anak muridnya.
          Pada suatu hari, ada seorang anak muridnya memberanikan diri untuk bertanya,”Tuan guru, bolehkah saya melihat wajah tuan guru?”
          ”Boleh … tapi kamu jangan terkejut,” jawab tok guru itu.
          Tok guru itu pun membuka kain yang membaluti wajahnya. Alangkah terkejutnya anak murid tersebut tatkala mendapati wajah tok guru itu menyerupai kepala himar!
          ”Bagaimana tuan guru boleh jadi sebegini?”
          ”Suatu masa, aku pernah mempertikaikan sebuah hadis yang bermaksud,’ Tidakkah mereka takut kepala mereka ditukarkan menjadi kepala himar jika mereka mengangkat kepala mendahului imam (dalam solat)’. Aku langsung tidak meyakini hadis itu dan mempertikaikannya. Suatu hari, aku sengaja mengangkat kepala aku mendahului imam ketika solat. Ketika itu juga Allah telah tukarkan kepala saya menjadi seperti ini.” Tok guru itu menjelaskan dalam keadaan yang sangat menyesal.
          Kisah di atas menjadi teladan buat saya supaya berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu mengenai hadis Rasulullah SAW. Dalam sedar atau tidak, kebanyakan umat hari ini sewenang-wenangnya menolak hadis yang dirasakan bertentangan dengan nafsu mereka. Lantas dengan ringan mulut mereka berkata,”Ini hadis dhaif! Tak boleh pakai!”
          Astaghfirullahal ’azim. Saudara seagamaku yang disayangi, sayangilah lidah. Janganlah bercakap sedap mulut sahaja. Siapa kata hadis dhaif tak boleh pakai?
          Saya memetik catatan Imam Nawawi rah.a dalam kitab Al-Azkar yang membawa maksud,”Para ulama telah menghukumkan SUNAT beramal dengan hadis dhaif.”
          Sebenarnya, bagi saya, tidak ada hadis dhaif. Kata-kata Rasulullah SAW tidak ada yang dhaif. Semuanya benar, haq dan sahih. Habis, apa yang dhaif? Yang dhaif itu adalah perawinya, bukan ucapan Nabi.
          Bagaimana perawi itu dikatakan dhaif? Ulama yang belajar ilmu mustolah hadis pastinya mempunyai penerangan yang terperinci mengenainya. Apa yang saya ambil daripada mereka ialah: perawi itu mungkin sudah tua, lemah daya ingatan atau kurang dikenali. Tapi, jika dibandingkan martabat mereka dengan kita, mereka lebih mulia.
          Malangnya mutaakhir ini, ramai di kalangan rakan-rakan kita yang mencerca para perawi dengan tuduhan yang melampau-lampau. Salah satu tanda-tanda kiamat ialah apabila golongan mutaakhir menghina golongan muktabar dan awwalin (lebih awal beriman). Mereka menuduh golongan ulama dan ilmuan serta para solihin yang terdahulu melakukan bid’ah kerana menggembar-gemburkan amalan yang tidak ada dalil. Sekali lagi kena istighfar!
          Sebelum ramai yang tersasul, eloklah terlebih dulu saya terangkan apakah bid’ah yang tercela itu. Adakah semua amalan yang Nabi tak buat termasuk dalam bid’ah? Sebelum anda menjawab, baca dulu cerita di bawah.
          Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA, beliau melihat umat Islam bersolat terawih secara berkelompok-kelompok di merata-rata bahagian dalam masjid. Perkara tersebut telah menyebabkan beliau mengarahkan agar semua umat Islam bersolat terawih secara berjemaah dengan hanya satu imam sebanyak 20 rakaat.
          ”Sebaik-baik bid’ah adalah ini!” kata Saidina Umar RA yang merujuk kepada perbuatan bersolat terawih secara berjemaah sebanyak 20 rakaat. Siapa berani kata beliau melakukan bid’ah yang tercela dan masuk neraka?
          Jadi, saudara pembaca yang saya muliakan, telah hadir pendapat jumhur ulama ASWJ bahawa bid’ah itu ada yang baik (hasanah) dan ada yang tercela (dholalah). Maka, bid’ah yang tercela itulah yang dilarang oleh Nabi.
          Lagi satu perkara, bid’ah yang tercela itu bersangkut dengan soal akidah. Apabila seseorang itu tidak beriktikad sepertimana yang dipegang oleh Nabi, itulah sebenarnya pelaku bid’ah.
          Saya akhiri dengan satu lagi cerita di mana ada beberapa orang lelaki yang membawakan kisah israiliyat (kisah Bani Israel) dan perkara tersebut telah sampai ke pengetahuan Nabi.
Maka Nabi berkata yang maksudnya,” Cerita itu jangan kamu benarkan dan jangan kamu dustakan.”
Pada pemahaman saya, ianya seakan-akan berbunyi,”Dengar boleh, percaya jangan.”
Itu berkaitan dengan kisah israiliyat, Nabi tak kata pun suruh buang terus dan kata ianya palsu. Tapi, Nabi kata,” jangan kamu benarkan dan jangan kamu dustakan.”
Apatah lagi dengan hadis Nabi. Lagi-lagilah kita kena hormat setiap hadis itu. Jangan pula buat-buat pandai lebih daripada mufti!
Wallahua’lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

3 Responses

  1. kita semua kene berhati2 dgn perkara ini…isu hadith ini…kita rujuk sumber2 yg soheh…

  2. Siapa kita untuk menidakkan hadis & sunnah Rasulullah? Semoga Allah melimpahkan hidayah kepada kita supaya jalan menuju redha-Nya terbentang luas. Amiin.

  3. Emmet says:

    wah, entry yang menarik, blog ni pun lawa, keep up the good work! 😀

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge