TIPS PENULISAN: NILAI SESEBUAH NOVEL ADALAH PADA ISINYA


Menulis adalah satu kemahiran menyampaikan isi. Setiap penulis akan cuba untuk menyampaikan sesuatu yang berisi. Tanpa isi, tulisan akan menjadi seperti hampas. Jadi, sebelum menulis, fikirkan dahulu, apakah isi-isi penting yang kita mahu tulis. Kemudian, barulah kita fikirkan apakah gaya penulisan dan bahasa yang kita mahu gunakan.
Penulis perlu menjadi pemikir masyarakat, bukan perosak masyarakat. Ini bermakna, setiap isi yang disampaikan, perlu mengandungi unsur-unsur yang boleh memperbaiki masyarakat. Tidak patut bagi seorang penulis cuba ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya, cuba memaparkan isi hati pasangan pengkid (lesbian) seolah-olah menyokong aktiviti LGBT atas nama kebebasan. Contoh lain, mengangkat isu percintaan yang tidak mendapat restu ibu bapa sehingga mempengaruhi pembaca supaya menderhakai ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta (terpengaruh dengan filem Hindustan). Perlu diingat, SETIAP PENULIS BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA YANG DITULIS.
Setiap ayat yang ditulis mesti jelas isinya. Jangan terlalu leka membuai perasaan pembaca sehingga tidak tahu, apakah mesej yang hendak disampaikan. Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Jasad yang tiada roh, namanya ialah mayat atau jenazah. Jika jasad atau tulisan itu mengandungi unsur-unsur hasutan atau budaya yang tidak sihat, ia layak dipanggil ‘bangkai.’
Novel bukan sekadar cerita. Novel ialah satu medium untuk menyampaikan isi melalui cerita. Isi yang bermanfaat dan berguna kepada pembaca akan menaikkan kualiti sesebuah novel. Secara tidak langsung, pembaca akan lebih menghargai novel-novel kita kerana kita berkongsi dengan mereka sesuatu yang bermakna. Ini tidak bermakna, novel kita itu harus sarat dengan FAKTA atau TIPS atau KHUTBAH dan sebagainya. Penulis perlu bijak menyelitkan isi-isi yang baik dalam tulisannya dan kemahiran ini memakan masa untuk dikuasai. Bersabarlah dan teruskan menulis!
Penulis bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.
Untuk menambahkan ‘hikmah’ dalam novel, pembaca juga tidak boleh lari daripada tuntutan menambah ilmu dan hikmah dalam dirinya. Ilmu dan hikmah inilah yang memberikan nyawa kepada novel. Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan. Jadi, jangan tersalah memilih perspektif.  Perspektif penulis akan menggambarkan kewibawaan penulis. Jangan sampai pembaca menganggap, penulis ini jahil kerana tidak tahu halal dan haram. Sekarang ini pun, sudah ada penulis yang cuba membawa doktrin Syiah, Wahabi, Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain aliran sesat dalam karya-karya mereka. Jaga-jaga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. ASH says:

    okay…thank you!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge