Kisah rumah tangga
Kisah rumah tangga

SOULMATE (Antologi Cerpen Rumah Tangga)

RM20.00

Memaparkan 19 buah cerpen kisah rumah tangga suami isteri yang mengandungi pelbagai perisa.

Product Description

  1. DI BALIK TIRAI KEHIDUPAN

AZLINA ISMAIL

 

Cerpen yang best. Pembukaan yang fantastik! Pengistilahan yang tak kaku, tak kontang. Luahan rasa dan naratif dipahat secara realistik. Senang sekali memahami perasaan seorang wanita yang hendak dimadukan, tapi sukar sekali menyelam hingga ke dasarnya. Sadisnya, jiwanya dibunuh oleh manusia-manusia yang sangat dikasihinya. Nafas hidup rasa sendat.  Bukan dia bersalah dalam hal ini, tapi dia reda jika perlu beralah. Mainan emosi penulis menjadikan pembaca sebagai watak pendengar setia. Tahniah penulis!

 

  1. BONTOT KUALI

CEMPAKA HANI

 

Tajuknya pun menarik sungguh. Pancingan mata kail yang mengena. Sepertimana tajuknya, bontot kuali itu ialah perlambangan seorang lelaki yang ‘tidak kacak’ kerana legam kulitnya. Ceritera yang sarkastik, sungguh tidak membebankan watak, penulis dan pembaca untuk mentelahnya. Ianya sebuah genre yang diminati sebenarnya. Menikmati cerpen ini umpama menikmati keropok rangup yang panas. Terasa mahu lagi dan lagi.

 

  1. KASIH SAYANG KU

AWEEP ROY

 

Saya tidak pernah menyangka dapat membaca cerpen sebegini. Ianya tragis, pelik, dan saya seolah-olah menjadi sebuah pohon yang dinaungi awan hitam pekat, kilat, guruh, ah namakan saja fenomena yang menyebabkan tubuh menjadi seriau. Dan kemudiannya ada matahari memancar, dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Saya sebagai sepohon pokok tidak tergugat dengan alam yang pelik ini, tapi terus kembang mekar.

Begini saya mudahkan, ianya kisah seorang manusia yang dirundung nasib malang dan bertragedi, tapi nasib itu menjadikannya lebih tabah, tidak terkesan sedikitpun. Erm, mungkin hanya sedikit. Ya, pelik juga. Reaksi yang ditonjolkan di dalam cerpen ini benar-benar mengejutkan saya. Masih adakah manusia sebegini, atau pernah adakah?

 

  1. SAYANGMU SALMA

NADZ ZUMIERAH

 

  • Wah menarik sekali cerpen ini! Membuatkan saya tersenyum-senyum saja membacanya. Benar juga ya, tak semestinya hanya lelaki yang melakukan keganasan rumah tangga. Wanita juga ada bisanya. Tapi bisa yang dimiliki Salma benar-benar kronik. Menyebabkan Ibnu Hadi, suaminya jadi mangsa kegilaannya. Pipi saya rasa panas pula, terasa mahu mengalir air mata, melihatkan kesanggupan sang suami meladeni kerasnya isteri. Inikah dikatakan cinta? Amboi, bermadah pujangga pula saya.

 

  • Plot cerita diteruskan dengan baik. Ada sesuatu yang berlaku, sesuatu yang menyebabkan hubungan suami isteri ini berubah 360 darjah. Apa dia, mudah saja kalau mahu tahu. Anda bacalah.

 

  1. KHILAF –

M.S. RINDU

 

Nilai kasih sayang dan kemanusiaan seperti daun-daun yang luruh jatuh ke tali air. Di bawa arus dan lenyap begitu saja. Perbuatan salah kerapkali disalah tafsir sebagai sesuatu hal yang biasa, kerana ia sering dilakukan. Sudah lali dirasakan. Kepercayaan yang dibekalkan dikhianati. Dengan contengan madah yang terasa dekat dan benar ke hati penyunting, saya rasakan ia seperti real story. Tidak ada yang disembunyikan oleh penulis kepada pembaca. Hasil pemerhatian dan pengamatannya barangkali, cerpen ini terus dan telus.

 

  1. MOTOKAR RAZI

NURUL SYAHIDA BINTI HASSAN

 

Kalau rumah tangga tidak ada ujiannya, bukanlah namanya rumah tangga. Senang cerita, bukanlah dia manusia kalau tak diuji.  Hatta sekecil-kecil ujian pun sebenarnya boleh menggoncangkan sebuah hubungan yang dibina sejak lama. Seperti kes Razi dan isterinya, kehadiran zuriat benar-benar mengujakan. Isterinya bakal melahirkan bayi mereka, Razi gembira, tapi kegembiraannya menjadi dilema apabila dia perlu memilih antara geng motokar dan isteri yang berpantang. Eh, sarkastik sungguh, haha.

 

  1. CINTA TAK SEMPURNA

NORILLAH ABDULLAH HASSIM

 

Persoalan “poligami” sering menjadi ‘kontroversi’ dalam rumah tangga.  Apatah lagi apabila sang wanita yakin bahawa dia telah memberi – menyerahkan hampir segalanya kepada sang suami. Sesuatu yang bernama kesetiaan, apabila telah diserahkan, maka ia umpama permata sempurna. Namun permata setia itu tak selamanya kemilau, pasti ada yang cuba mencuri setia dan kebahagiaan. Ujian.

Kamal meladeni Ain dengan kebahagiaan. Ain melayani Kamal penuh taat mengikut tuntutan agama. Suami ialah syurga buatnya. Kamal pula memberikan perhatian penuh cinta. Tapi kenapa masih hadir orang ketiga? Kenapa Kamal tega melukai kisah cinta bahagia mereka? Siapakah Wardah dalam hidup Kamal? Apakah Ain putus asa dan melepaskan Kamal begitu saja? Wah, jebakan persoalan ini hanya mampu dijawab dengan menekuni cerpen ini. Silakanlah wahai pembaca, larut dalam emosi sepertimana saya, menyelusuri penukangan cerpen yang ditulis dengan ketertiban ini.  Saya puji gaya penulisannya, menarik dan menarik-narik, eh. J

 

  1. TAMSIL ZAINAB

NURIMAS SN

 

Kematangan dalam penulisan jelas terpampang di dalam karya Nurimas SN. Bunga-bunga bahasa membumbui hampir setiap bait kata. Tajuk yang dipilih pun tak kurang hebatnya. Mengetuk inkuiri saya sebagai pembaca, ‘Tamsil apa?’, ‘Siapa Zainab?’

Ternyata nukilan cerpenis kali ini unik dan berbeza, punya identiti sendiri. ‘Cinta’ yang menghiasi cerpen ini nyata ‘tak sempurna’. Ingatan seorang lelaki terbayang-bayang akan pasangan salah seorang keluarganya, isteri kepada anak saudaranya sendiri. Padahal dia orang beriman dan bertakwa, kenapa “cinta” begini yang mengujinya. Godaan semacam apakah ini? Bagaimana jika sebenarnya “cinta” yang hadir di benaknya, bukan dia saja yang rasa?

 

  1. KAU MILIKKU JUA

ROHA MUDA

 

Jujurnya, saya suka gaya penceritaan cerpen ini. Bersahaja, tidak kekok saya membacanya. Unsur-unsur suspens diselit, membuatkan hormon teruja membuak-buak! Walaupun masih menyentuh soal poligami, namun ianya seolah – olah memberikan ‘satu jalan penyelesaian’, buat ‘mereka-mereka yang memilih untuk berpoligami atau dipoligamikan.’ Pilihan yang mereka pilih masing-masing, kalau tak ditangani dengan matang, maka buruk padahnya. Maksud penulis yang saya fahami, “ Rumah tangga bukan untuk mencari bala, tapi mencecah bahagia.”

 

  1. DIARI JULAI SEORANG LELAKI

QAY ELFANSURI

 

Saya tidak tahu mana satu yang harus dipuji. Barangkali gaya penulisannya yang bersahaja dan mudah difahami? Oh, atau jalan ceritanya yang penuh emosi? Ah, penulis telah melontarkan saya ke lembah air mata dan sayu. Barangkali saya membayangkan diri saya dan pasangan saya di tempat watak-watak cerpen ini. Tapi pasti kerana “menjadinya” sesebuah cerita, baharu berlakunya penghayatan. Ini pujian. Saya larut, saya takut pada Allah, Tuhan kita. Saya rasa kerdil dan lemah. Apa lagi ya, erm, oh ya tahniah J

 

  1. NOR CAHAYA

SELUMBAR

 

Cerpen ini menyedarkan saya tentang fraud dunia zaman sekarang. Banyak penipu! Baik lelaki atau perempuan, kedua-duanya seringkali jadi mangsa kerana mengikut hati dan perasaan. Kita menggelarnya situasi bodoh sombong.  Kaum perempuan pula seringkali terjebak dengan kata-kata manis seorang lelaki. Aduhai …

Pernikahan bukan suatu permainan ada kalah menang. Pernikahan itu, saling memberi dan menerima. Tidak menyelidiki latar belakang bakal pasangan sememangnya menempah keranda sendiri. Saya percaya dengan konsep “bercinta selepas nikah,”,tapi bukan bermaksud menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa ada usaha mengetahui rinci kehidupan pasangan masing-masing. Carilah maklumat daripada pelbagai kaedah dan cara (asalkan kena pada tempatnya). Banyak jenis manusia yang wujud di dunia ini, dan Sam (watak) antara manusia yang tak kenang dek untung, spastik, bahkan menyia-nyiakan kehidupan yang telah dimilikinya.

Kematangan harus dirangkul, meskipun bahagia telah direnggut. Terus-terusan meratap untuk apa? Maka Aisyah (watak) harus nekad mencari jalan keluar sendiri. Kalau bukan untuk dirinya, dia harus lakukan demi anak-anaknya. Harus menarik keluar selumbar dari hatinya! Harus!

 

  1. YANG AKU SAYANG

ROSE ALEYNA

 

Sebuah cerpen yang fantastik ! Pantas air mata saya mengalir membaca bait – bait katanya. Indah dan telus, seolah-olah sebuah panah emosi disasar terus ke jiwa saya. Saya terkesima. Coretan sebuah kisah rumah tangga yang seringkali berlaku, bahkan menjadi sumber perceraian. Siapa mahu merobohkan teratak rumah tangga yang telah dibina bertahun lamanya? Siapa? Tapi hati wanita mana yang tidak terkilan dan pilu, apabila yang meminta perceraian ialah sang suami, hanya kerana dirinya tidak mampu memberikan zuriat. Oh, terasa diri ibarat perca buruk yang dibuang, letaknya di kaki. Sedangkan dahulu ia sebuah busana indah yang diidam-idamkan, dipakai-pakai dan diperaga anggun. Hinakah dia apabila rahimnya seolah tiada guna setelah keguguran?

Apakah dirinya perlu dicanang-canang, hanya kerana lelaki itu mahukan zuriat, atau … ada sesuatu yang sebenarnya disembunyikan ? Apakah benar tiada harapan buat wanita itu memiliki bahagia?

Dan banyak lagi cerpen menarik di dalam antologi ini

 

Oleh: MANJA LELA (penyunting bebas)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “SOULMATE (Antologi Cerpen Rumah Tangga)”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge