Sale!
menyemaibenihrezeki_3dcover

Menyemai Benih Rezeki

RM20.00 RM18.00

Allah Maha Pemurah

20 Petua Paling Mujarah Mendapat Rezeki yang Berkat

 

Category: Tags: , ,

Product Description

Menyemai Benih Rezeki

Rezeki adalah apa-apa yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita sama ada dalam bentuk harta, anak pinak, kesenangan hidup dan sebagainya. Bukan sahaja perkara yang baik malahan perkara yang buruk juga adalah rezeki. Namun begitu, rezeki yang berkat mendorong kita untuk semakin hampir kepada Allah SWT manakala rezeki yang tidak berkat akan menjauhkan kita daripada Allah SWT. Contohnya, dengan bertambahnya pendapatan bulanan, maka kita akan semakin gemar berbuat kebajikan. Kita juga akan lebih bersyukur kepada Allah SWT atas limpah kurnia yang diberikan. Cara bersyukur yang terbaik adalah dengan berkongsi rezeki kita itu dengan orang lain. Bukan sekadar mengucapkan puji-pujian kepada Allah, malahan memberikan apa yang ada pada kita kepada orang lain yang lebih memerlukan.

Antara tanda rezeki kita berkat adalah bertambahnya ketaatan kita kepada Allah, bertambahnya yakin kita kepada Allah dan anak-anak semakin taat kepada ibu bapa. Hati pun menjadi tenang. Jika pendapatan kita sedikit, ia mencukupi. Jika banyak, ia tidak membazir.

Harta yang banyak belum tentu milik kita. Apa yang ada dalam kocek, dalam bank atau dalam peti, sebenarnya belum tentu milik kita. Mungkin harta itu akan menjadi milik mekanik kereta tatkala kereta kita rosak. Mungkin juga akan menjadi milik doktor jika kita ditimpa sakit atau kemalangan. Jadi, yang mana satu milik kita? Perkara yang menjadi milik kita adalah makanan yang kita sudah makan, rumah yang kita duduki sehingga usang dan pakaian yang kita pakai sehingga lusuh. Pendek kata, apa-apa yang kita sudah gunakan, barulah itu dinamakan rezeki. Selagi kita belum menggunakannya, ia bukan milik kita sepenuhnya.

Ada orang yang usahanya sedikit tetapi hasilnya banyak. Ada orang yang usahanya banyak tetapi hasilnya sedikit. Banyak atau sedikit, itu ketentuan Allah sejak azali lagi. Namun begitu, jika harta itu berkat, sedikit pun mencukupi. Jika harta tidak berkat, banyak pun masih tidak cukup.

Harta yang mencukupi lebih baik daripada harta yang banyak. Banyak belum bererti cukup tetapi cukup sudah memadai. Ini persoalan nafsu. Ada hadis yang menyebutkan, “Sekiranya anak Adam diberikan dua lembah yang dipenuhi emas, nescaya mereka mahukan lembah emas yang ketiga.” Sesungguhnya, tiada yang dapat memenuhi perut anak Adam melainkan tanah (apabila kita sudah mati, maka tiada lagi keinginan nafsu).

Sekarang, kita kena buat pilihan. Kita mahukan harta yang cukup atau harta yang banyak?

Persepsi Mengenai Rezeki

Rezeki tidak semestinya dijelmakan dalam bentuk harta. Rezeki mungkin hadir dalam bentuk yang kita tidak nampak. Contohnya kesihatan badan, kebahagiaan dan ketenangan. Jika badan kita sakit, sudah tentu kita memerlukan kos untuk merawat penyakit kita. Jika hati tidak bahagia dan tenang, mungkin kita mencari pelbagai jalan untuk membahagiakan dan menenangkan hati dengan cara berbayar. Contohnya, melancong, berhibur dan khidmat kaunseling. Jika hati bahagia, duduk di rumah dan berada di masjid pun sudah cukup menenangkan.

Rezeki juga hadir dalam bentuk ilmu, bakat dan kemahiran. Seseorang dapat menggunakan ilmu, bakat dan kemahirannya untuk meraih rezeki yang halal daripada Allah SWT. Seseorang yang gagal dalam peperiksaan peringkat sekolah, belum tentu dia gagal dalam kehidupannya. Belum tentu dia tidak boleh jadi orang kaya. Seseorang yang memiliki ijazah, belum tentu dia akan berjaya dalam kehidupannya. Tiada kaitan antara sijil, diploma dan ijazah dengan kejayaan dalam kehidupan. Masa depan kita ditentukan sepenuhnya oleh Allah SWT. Namun begitu, ini bukan bermakna kita hanya perlu berpeluk tubuh dan tidak berusaha. Usaha dan ikhtiar itu perlu kerana itu adalah perintah Allah SWT tetapi keyakinan kita mestilah 100% hanya pada Allah SWT.

Ada orang yang tidak pintar dalam akademik tetapi dia mempunyai bakat. Contohnya, dia mempunyai bakat menulis dan melukis. Kemudian, dia dapat memanfaatkan bakatnya itu untuk meraih rezeki yang halal daripada Allah SWT. Saya juga sedang memanfaatkan bakat saya. Jadi, cungkillah bakat anda. Anda tidak akan menyedari bahawa anda mempunyai bakat selagi anda belum mencuba.

Selain ilmu dan bakat, seseorang itu dikurniakan oleh Allah SWT dengan kemahiran sebagai jalan untuk dia mendapat rezeki. Contoh yang jelas ialah Nabi Daud a.s. Sebagai hadiah daripada usaha keras baginda menjalankan dakwah, maka Allah SWT mengurniakan kemahiran mengimpal besi kepada Nabi Daud a.s. Bahkan, besi menjadi cair di tangannya sehingga baginda dapat membentuk besi menjadi pedang hanya menggunakan tangannya.

Jadi, janganlah gusar dan bersedih sekiranya anda tidak berpeluang masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Masih ada banyak jalan untuk kita mendapat rezeki.

Ketenangan dan Kesenangan

Ada dua perkara penting yang manusia cari dalam kehidupan iaitu ketenangan yang tiada kegusaran dan kesenangan yang tiada kesusahan. Namun begitu, manusia telah tersalah yakin dengan beranggapan bahawa jika mereka mempunyai pendapatan yang lumayan, maka mereka akan memiliki kesenangan dan ketenangan. Belum tentu. Betapa ramai orang kaya yang hatinya tidak tenang sekalipun hidupnya senang. Kekayaan harta tidak boleh memberikan ketenangan.
Di samping itu, ada pula golongan yang hidupnya tidak berapa senang tetapi hatinya sentiasa tenang. Golongan ini lebih beruntung berbanding golongan yang senang tetapi tidak tenang. Ini kerana, orang yang memiliki ketenangan ialah orang yang memiliki kekayaan hati.

Makan Gaji atau Bekerja Sendiri?

Setiap orang diberikan kelebihan masing-masing. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Ramai orang yang bekerja makan gaji tetapi apabila dia melihat orang yang bekerja sendiri hidupnya lebih bebas dan berada, maka dia pun berhenti kerja dan berniaga. Ada pula orang yang bekerja sendiri tetapi apabila dia melihat orang yang makan gaji hidupnya lebih tenang dan selesa, dia pun terfikir untuk kerja makan gaji.Pendek kata, manusia suka melihat apa yang ada pada orang lain dan terlupa melihat apa yang telah ada padanya.

Sedangkan, Allah telah berfirman, “Seandainya engkau bersyukur dengan nikmat-Ku, nescaya Aku akan tambahkan lagi nikmat-Ku kepadamu. Namun, jika engkau kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”

Kita merasa apa yang ada pada kita masih tidak cukup kerana hati kita miskin. Hati yang miskin mendorong nafsu untuk mendapatkan habuan yang lebih. Meskipun sudah mendapat habuan yang lebih, dia tetap akan mencari lagi dan lagi sehingga dia ‘tiada lagi’. Maka benarlah sabdaan Rasulullah SAW, “Seandainya anak Adam diberikan dua lembah yang dipenuhi emas, nescaya dia menghendaki lembah emas yang ketiga.”

Kita hamba Allah, bukan hamba pada kerja. Kita bekerja untuk hidup, bukan hidup untuk bekerja.

Kita fikirkanlah kembali ketentuan Allah terhadap kita. Apa-apa yang telah terjadi adalah takdir yang tidak dapat diubah. Mungkin ada dalam kalangan kita yang menginginkan kerjaya yang bagus dengan gaji yang lumayan. Namun, kehendak Allah tidak sama dengan keinginan kita.

Sama ada hendak makan gaji atau bekerja sendiri, terpulanglah kepada kemampuan masing-masing. Rezeki sudah ditetapkan. Kita ‘pulun’ macam mana sekalipun, jika Allah telah tetapkan sebanyak itu, maka sebanyak itulah yang kita dapat. Namun, jika Allah telah tetapkan rezeki yang banyak, maka banyak jugalah yang kita dapat. Apa yang dapat kita buat adalah bagaimana mendatangkan keberkatan pada rezeki yang telah ditetapkan itu. Semoga tips-tips yang akan diberikan nanti dapat menimbulkan keghairahan kita untuk mengamalkannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Menyemai Benih Rezeki”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge