Penghijrahan Azmil Mustafa

 Azmil Hj Mustafa yang pernah popular lewat tahun 80-an menerusi filem Ali Setan, Mekanik dan beberapa buah filem lagi kini telah berubah wajahnya. Pertama kali saya melihat sendiri beliau berjubah, berserban dan berjanggut ialah ketika saya masih belajar di UiTM Shah Alam. Hati saya kagum melihatnya. Subhanallah!



        Beliau kini giat menyampaikan dakwah di seluruh pelusuk negara. Mungkin anda juga pernah mendengar ceramahnya sama ada secara live atau menerusi YouTube. Begitulah, betapa hebatnya Allah yang menggenggam dan membolak-balikkan hati manusia. Selagi pintu taubat masih terbuka, sesiapa sahaja boleh berhijrah. Jangan kita lihat pada orang lain, lihatlah pada diri kita sendiri. Saya menulis mengenai Azmil Mustafa hanya sebagai contoh teladan untuk sesiapa sahaja yang mahu mendekatkan diri kepada Allah.
        Menjejaki semula detik awal penghijrahannya, Azmil memberitahu bahawa ketika itu beliau mahu mengikuti kursus perfileman di Amerika pada tahun 1997. Katanya, beliau begitu teruja untuk ke sana lantas menyebabkan beliau bertolak lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya. Ini menyebabkan beliau tidak mendapat tempat tinggal setelah tiba di sana.
        Rupa-rupanya, Allah mahu memberikannya hidayah. Walaupun pergi dengan niat untuk belajar perfileman, tetapi Allah telah menjemputnya beriktikaf di sebuah masjid di New York. Seorang pemandu teksi telah membawanya ke sebuah masjid yang sentiasa dibuka untuk orang ramai.
        ”Kebetulan pada masa itu ada kumpulan tabligh. Saya sempat bergaul dan mengikut mereka,” jelas Azmil.
        Lihatlah, betapa pentingnya usaha tabligh. Walaupun sesetengah orang memandang enteng, sinis dan antagonis terhadap usaha tabligh, berapa ramai manusia menerima hidayah asbab daripada usaha tersebut? Dan orang yang memandang negatif itu, apa yang telah mereka buat untuk menyampaikan kalimah Allah kepada seluruh umat manusia?
        Pada pendapat saya, jika kita tidak mampu untuk mendokong, mungkin kita boleh menyokong. Itu yang lebih baik berbanding menjadi penentang kepada usaha dakwah ini.
        Berbalik kepada cerita Azmil, sebelum beliau kembali ke Malaysia, selama lima tahun beliau bermastatutin di bumi Syria. Di sana, beliau menuntut ilmu secara percuma sahaja. Selain belajar, beliau juga turut mengajar Bahasa Inggeris kepada orang tempatan di sana.
        Walaupun sumber kewangan tidak kukuh tetapi Allah sentiasa membantu hamba-hambanya yang berjuang dengan ikhlas. Azmil gemar menjamu makan kepada para pelajarnya walaupun makanan tersebut adalah makanan yang terakhir terdapat di rumahnya.
”Anak saya tanya, saya ada kelas atau tidak? Saya kata ada. Dia tanya lagi, nak masak jugakah sebab jika masak, beras, bawang, sayur, ayam semuanya akan habis. Jadi, saya kata masaklah. Lepas masak, memang saya tengok semuanya habis. Malam itu, saya berdoa pada Allah supaya Allah bantu. Esok paginya, ada orang yang saya tidak kenal hantar sekampit beras ke rumah saya. Pagi itu juga, ketika saya pergi solat Subuh, orang bagi duit lagi. Memang di luar dugaan. Kita minta dengan Allah, bukan minta pada manusia sebab rezeki daripada Allah.” Azmil menceritakan panjang lebar.
Allahuakbar!
Yakinlah wahai saudaraku, Allah Maha Pemberi Rezeki. Orang yang bertaqwa, akan dibukakan Allah keluar daripada segala kesulitan walaupun dengan cara yang tidak disangka-sangka. (Rujuk ayat seribu dinar, surah At-Taalaq ayat 2-3)
 Pesanan saya, berkongsilah kisah ini dengan sesiapa sahaja semoga manusia tahu bahawa Allah itu Maha Pengasih, Pemberi Rahmat, Pemberi Rezeki, Pemberi Hidayat.
“Hati harus seluas lautan, jangan kecil seperti kuman.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge