MENGHUNUS PEDANG KERANA ALLAH: HIMPUNAN 20 KISAH KEUNGGULAN PARA SAHABAT

Penulis: KHAIRY TAJUDIN

Tebal: 176 ms


ISBN: 978-983-097-395-1

Harga: RM11.00 (WM) / RM13.00 (EM)

Himpunan 20 Kisah Keunggulan Para Sahabat ini menghimpunkan kisah-kisah yang mencerminkan keutamaan para Sahabat dan bagaimana mereka berjuang serta bersungguh-sungguh menegakkan agama. Biografi ringkas dan kisah hidup mereka ini memang hebat dan tidak dapat ditandingi.


Di dalam buku ini, pembaca akan mengetahui jawapan bagi soalan-soalan seperti berikut, siapakah Sahabat paling muda yang pernah dilantik menjadi ketua perang? Siapakah Sahabat yang pertama sekali menghunuskan pedang di jalan Allah? Siapakah Sahabat yang pertama sekali lahir selepas Hijrah? Siapakah Sahabat yang berperang bersama-sama Nabi SAW sebelum memeluk Islam? Siapakah Sahabat yang membunuh nabi palsu? Siapakah Sahabat yang menjadi duta pertama dalam Islam? Siapakah Sahabat yang rumahnya menjadi pilihan Nabi SAW? Siapakah Sahabat yang mula-mula sekali menjadi muazin? Siapakah Sahabat yang paling gagah perkasa? Siapakah Sahabat yang menjadi ikutan golongan zuhud? Siapakah Sahabat yang paling kuat meniru sunah Nabi SAW? Serta banyak lagi kisah-kisah menarik yang bakal menjadi pedoman untuk semua!

SINOPSIS:

MENGHUNUS PEDANG KERANA ALLAH: HIMPUNAN 20 KISAH KEUNGGULAN PARA SAHABAT
1.      USAMAH BIN ZAID R.A.: Pemuda Harapan Rasulullah SAW – Usamah ialah anak kepada Zaid r.a. dan Ummu Aiman. Dirinya dilantik menjadi ketua ketika Rasulullah SAW menghantar satu jemaah ke Palestin ketika usianya sekitar 20 tahun walaupun pada ketika itu, masih ramai Para Sahabat lain yang lebih dewasa dan berpengalaman. Namun, tentu ada hikmahnya, mengapa Rasulullah SAW memilih beliau. Usamah juga dihormati oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a.
2.      BILAL BIN RABAH R.A.: Muazzin Pertama – Kemasukannya ke dalam Islam mengundang derita yang tidak terperi. Namun, beberapa siri seksaan daripada orang Quraisy tidak sedikitpun melemahkan imannya sehingga akhirnya beliau dimerdekakan oleh Sayidina Abu Bakar r.a. Setelah itu, beliau berkhidmat menjadi muazzin di Masjid Nabawi sehinggalah Baginda wafat. Setelah itu, beliau tidak sanggup lagi hidup di Madinah kerana sedih teringatkan Rasulullah SAW dan mengambil keputusan untuk mengakhiri hayatnya di Syria.
3.      KHABBAB BIN AL-ARAT R.A.: Daripada Hamba Menjadi Hartawan yang Pemurah – Seperti Bilal r.a., beliau juga terpaksa menghadapi seksaan daripada bekas majikannya. Namun, seksaan tersebut tidak memudaratkan imannya sehinggalah orang kafir berputus asa untuk terus menyiksanya. Di sebalik kepahitan itu, beliau kemudiannya menjadi pejuang agama dan dilantik menjadi gabenor. Akhirnya beliau meninggal dunia di Kufah dan merupakan Sahabat pertama yang dikebumikan di Kufah.
4.      AMMAR BIN YASIR R.HUMA R.A.: Alah Bisa, Tegal Biasa, Gagah Perkasa – Ibunya, Sumaiyyah adalah Muslim pertama syahid dalam sejarah. Ayahnya juga syahid dan tinggalkan beliau berjuang mempertahankan imannya. Beliau mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa dan beliau adalah orang yang membina Masjid Quba’. Kisah ketabahan dia dan keluarganya dirakamkan dalam al-Quran. Beliau pernah dilantik menjadi gabenor Kufah pada zaman Umar al-Khattab r.a.. Telinga beliau telah putus dalam peperangan menentang nabi palsu, si Musailamah. Ammar menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam satu peperangan setelah meneguk segelas susu, sesuatu yang pernah diberitahu oleh Baginda bahawa minuman terakhirnya ialah susu.
5.      TALHAH BIN UBAIDULLAH R.A.: Pelindung Rasulullah SAW – Beliau memeluk Islam setelah diberitahu oleh seorang rahib bahawa akan muncul Nabi di Mekah. Setelah beliau memeluk Islam, dia disiksa orang Quraisy juga ibunya sendiri.Dalam medan Uhud, Talhah r.a.melindungi Rasulullah SAW ketika saat pertempuran semakin sengit. Beliau melindungi Baginda dengan tangan daripada terjahan anak panah dan selamat dari kilauan pedang-pedang musuh. Beliau bersabar dengan luka-luka pada badannya dan terus melindungi Nabi SAW tatkala semua manusia berpaling dan melarikan diri.
6.      ABU ZAR AL-GHIFFARI R.A.: Ikutan Kaum Zuhud – Dikatakan bahawa beliau adalah orang pertama yang mengisytiharkan keislamannya di khalayak ramai sehingga dipukul. Namun, perkara itu membuatnya rasa puas. Setelah memeluk Islam, beliau belajar dengan Nabi SAW sebelum mendakwahi kaumnya. Pada zaman Khalifah Uthman r.a., beliau berselisih pendapat dengan ahli dunia dan bencikan sikap mereka yang mengejar dunia. Disebabkan itu, khalifah memerintahkannya berpindah ke daerah lain. Beliau kemudiannya menjadi ikutan golongan zuhud yang menncari hakikat sebenar kehidupan dan beliau sangat pemurah.
7.      MUS’AB BIN UMAIR R.A.: Duta Pertama Islam – Sebelum disirami hidayah Allah SWT, Mus’ab bin Umair adalah satu nama yang dibayangi kemewahan, ketampanan dan kegilaan para gadis. Beliau membesar dalam rumpun manja ibu dan ayahnya. Pakaiannya bukan calang-calang tenunan. Jiwa mudanya bergelora dan membara mencari sesuatu yang lebih berharga daripada emas dan permata. Setelah memeluk Islam, semua itu ditinggalkannya dan beliau wafat dengan pakaian yang tidak sempurna. Namun, di sebalik mujahadah itu, beliau adalah duta pertama dalam Islam yang dihantar untuk mengajar orang Madinah sebelum berlakunya peristiwa hijrah. Ramai orang Madinah memeluk Islam di tangannya.
  1. ABU AYYUB AL-ANSARI R.A.: Rumah Pilihan Allah – Mengisahkan kasih sayang beliau terhadap Nabi SAW tatkala rumahnya terpilih untuk didiami oleh Baginda padahal ia penuh dengan kekurangan. Bukan setakat itu, beliau juga mempertaruhkan seluruh hayatnya untuk agama sehingga syahid ketika menakluk Konstantinopel. Makamnya ada di Istanbul.
  1. SALMAN AL-FARISI R.A.: Pencari Kebenaran – Mengisahkan perjalanan hidup beliau bermula dari zaman beliau menjadi penjaga api kaum Majusi, berguru dengan rahib Nasrani sehinggalah beliau bertemu dengan Nabi SAW.
  1. ABDULLAH BIN UMAR R.HUMA: Berpegang Teguh Dengan Sunnah – Beliau ialah anak Sayidina Umar r.a.. Keperibadiannya sedikit sebanyak diwarisi daripada ayahnya yang sangat kuat berpegang dengan Sunnah Nabi SAW. Ramai orang mengiktiraf setiap amalan Ibnu Umar r.huma sangat mirip dengan perilaku Rasulullah SAW. Pada zaman harta benda dunia telah melimpah kepada kaum Muslimin, Ibnu Umar memilih jalan kezuhudan, menjauhi jawatan tinggi dan mengelakkan fitnah. Ibnu Umar r.huma mencari rezeki untuk meneruskan kehidupannya dengan berniaga. Beliau sangat jujur dalam perniagaannya serta tidak lokek untuk menderma. Tidak sedikit pun beliau terfikir untuk menjadi papa atas sifat kemurahannya itu. Bahkan, semakin banyak beliau bersedekah, Allah tambahkan lagi keberkatan dalam hartanya.
  1. ABDULLAH BIN UMAR R.HUMA: Jalan Tengah Dalam Kancah – Ibnu Umar r.huma dikurniakan umur yang panjang sehingga sempat hidup pada zaman Bani Umayyah iaitu di saat dunia membuka pintu kemewahan kepada umat Islam. Namun, tidak sedikitpun beliau berganjak dari kezuhudan dan kewarakannya. Ketika berlakunya perselisihan umat, beliau mengambil jalan tengah dan tidak berpihak kepada mana-mana puak. Dalam bab ini juga diselitkan peristiwa ajaib tatkala beliau memulas telinga harimau yang cuba membuat kacau di kota.
  1. ABDULLAH BIN HUZAIFAH AS-SAHMI R.A.: Penebus Tawanan – Ia mengisahkan bagaimana beliau sanggup melakukan apa sahaja demi menjaga iman dan membebaskan tawanan Islam walaupun terpaksa mencium dahi Kaisar. Beliau juga memiliki keistimewaan kerana dipilih bertemu dua pembesar dunia iaitu Kisra dan Kaisar.
  1. BARRA’ BIN MALIK R.A.: Semangat Membara Memburu Syahid – Beliau seorang yang berani dan tidak takut mati. Beliau terlibat dalam peperangan menentang Musailamah al-Kazzab namun beliau tidak mati walaupun terdapat 80 kesan tikaman pada badannya. Beliau akhirnya syahid dalam Perang Tustar.
  1. AMRU BIN AL-AS R.A.: Tatkala Mekah Melepaskan Jantungnya – Mengisahkan bagaimana beliau memeluk Islam setelah didakwah oleh Najashi. Pada hari yang sama, Khalid al-Walid dan seorang lagi Sahabat turut memeluk Islam. Peristiwa ini berlaku sebelum Fatah Mekah. Keislaman mereka diibaratkan seperti Mekah melepaskan jantungnya.
  1. IKRIMAH BIN ABU JAHAL R.A.: Cinta Seorang Isteri – Ketika Meka dibebaskan daripada kaum Musyrikin, Ikrimah melarikan dirinya sehingga ke Yaman. Isterinya yang telah memeluk Islam berusaha untuk membawanya pulang dan memohon keamanan daripada Rasulullah SAW. Setelah itu, barulah Ikrimah tergerak hati untuk memeluk Islam. Setelah memeluk Islam, beliau melipatgandakan pengorbanannya untuk Islam sehingga syahid dalam Perang Ajnadain.
  1. UMAIR BIN WAHAB AL-JUMAHI R.A.: Rancangan Yang Terbongkar – Umair dan Safwan berpakat untuk membunuh Nabi SAW. Namun, semua rancangan mereka terbongkar dan terlebih dahulu diketahui oleh Baginda. Umair akhirnya memeluk Islam kerana peristiwa itu.
  1. SAFWAN BIN UMAYYAH R.A.: Berperang Bersama-sama Rasulullah Ketika Belum Islam – Rasulullah SAW memberikan peluang kepada beliau untuk bebas hidup di dalam kalangan orang Islam selama 4 bulan. Dalam tempoh tersebut, beliau dibenarkan untuk melihat akhlak orang Islam dan kemudiannya membuat pilihan untuk memeluk Islam atau tidak. Dalam tempoh itu juga, beliau turut berperang bersama-sama orang Islam yang lain menentang musuh. Akhirnya, beliau memeluk Islam setelah kagum dengan akhlak Rasulullah SAW dan orang Islam.
  1. ZUBAIR BIN AL-AWWAM R.A.: Orang Pertama Menghunuskan Pedang Kerana Allah – Beliau ialah orang pertama yang mengangkat pedang untuk membela Nabi SAW. Beliau juga seorang pahlawan yang berani. Jika disingkap kembali sejarah Islam, akan didapati beliau banyak memperuntukkan masa di jalan Allah dan tidak memegang jawatan penting dalam pentadbiran negara Islam. Bakat kepahlawanannya tidak boleh disangkal. Ketangkasannya bermain pedang menjadi sebutan.
  1. ABDULLAH BIN ZUBAIR R.HUMA: Putera Hijrah – Beliau adalah bayi pertama yang lahir setelah peristiwa Hijrah. Ibunya berhijrah ketika beliau masih berada dalam kandungan. Beliau syahid dibunuh oleh Hajjaj yang zalim pada zaman pemberontakan Bani Umayyah.
20.  URWAH BIN MAS’UD: Permata Dari Bumi Taif – Beliau memeluk Islam setelah mengagumi keperibadian Nabi Muhammad SAW. Kemudian, beliau terus berdakwah kepada orang kampungnya di Taif. Mereka menentang dan membunuhnya pada keesokan hari. Kisahnya sama seperti kisah Habib an-Najar dalam surah Yasin.



 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge