Komentar Ulama Masjidil Haram: HARAM Berpakat Dengan Orang Kafir

Berikut ialah intisari wawancara wartawan Malaysia dengan Syeikh Dr Sulaiman Saloomi, ahli
majlis fatwa Masjidil haram. Kita selami dengan hati yang terbuka, minda yang sihat dan
wajah yang ceria.
1.       Apa pandangan syeikh mengenai demonstrasi?
Demonstrasi jalanan mula dipelopori oleh Abdullah bin Saba’, seorang munafik yang asalnya beragama Yahudi. Dia menghimpunkan para revolusier dari Iraq, Syria dan Mesir lalu berarak ke Madinah. Dalam sejarah Islam mereka digelar pemberontak dan perbuatan mereka  digelar ulama sebagai penggulingan di mana inilah kali pertama seorang Muslim menghunuskan senjata kepada Muslim yang lain. Maka, berlakulah pembunuhan Khalifah Uthman r.a. di rumahnya yang ketika itu sedang membaca al-Quran.
2.       Adakah negara Islam menjadi matlamat Islam?
Objektif asas dalam Islam adalah ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah, mentauhidkannya dan mentaati Allah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Penubuhan Negara Islam bermula daripada usaha-usaha itu dan bukan menjadi matlamat utama. Kebanyakan dakwah Para Rasul tidak menghasilkan penubuhan sesebuah Negara tetapi memadai dengan beberapa orang di kalangan mereka yang beriman kepada Rasul tersebut. Allah SAW berfirman mengenai Nabi Nuh a.s. “ Maka tiadalah orang yang beriman turut bersama-samanya melainkan sedikit sahaja.”
3.       Apa hukumnya kafir-mengkafir?
Sesiapa yang menggunakan pendekatan kafir mengkafir terhadap umat Islam, maka tuduhan tersebut kembali kepadanya. Dalam hadis mafhumnya, “Sesiapa yang berkata kepada saudara Islamnya, ‘wahai kafir’, maka tuduhan itu kembali kepadanya.” Adalah menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim untuk bersangka baik dengan saudara se-Islam dan bergaul dengan cara yang baik.
4.       Apakah yang berlaku dalam senario politik hari ini menepati kehendak Islam?
Persepsi yang berlaku dalam scenario politik sekarang tidak Islamik. Bahkan ia satu fikiran politik yang sempit. Setiap ahli berusaha untuk membenarkan partinya serta mendakwa mewakili Islam yang sebenarnya. Adapun pandangan yang sebenar ialah berpaksikan al-Quran , as-Sunnah dan manhaj Para Khulafak ar-Rasyidin. Apa yang dituntut oleh dalil ialah memelihara persaudaraan Islam dan memilih mereka yang paling sesuai dan berkelayakan untuk memimpin ummah. Inilah politik umat Islam yang sebenarnya. Apa yang berlaku sekarang adalah sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT, “Setiap parti/puak bergembira dengan apa yang mereka ada.” Perbuatan melampau, iri hati atau jumud kesemuanya membawa kepada kegagalan dan kelemahan ummah yang menyebabkan penguasaan musuh-musuh Islam. Barat bergembira dengan fenomena buruk ini di kalangan umat Islam bahkan mengambil kesempatan untuk melemahkan lagi umat Islam serta mempersendakan mereka.
5.       Jadi, apakah perkara pertama yang perlu diselesaikan?
Pertama pertama yang perlu diselesaikan dahulu ialah supaya umat yang berpecah menjadi bersatu. Barulah agama lain akan mencontohi umat Islam yang bersatu padu. Dalam sejarah Negara Islam yang diperintah oleh mereka (umat Islam yang bersatu padu) menjadi bukti terbaik di mana golongan minoriti bukan Islam menghormati orang Islam apabila mereka melihat umat Islam bersatu padu.
6.       Bolehkah berpakat dengan orang kafir?
Seorang Muslim tidak dibenarkan bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa jua keadaan sekalipun untuk menentang saudara se-Islamnya. Sejarah telah membuktikan bahawa orang bukan Islam tidak akan mengundi parti Islam melainkan jika parti Islam itu berkompromi sesuatu daripada hal keagamaan. Perbuatan ini mendatangkan bahaya kepada umat Islam. Allah berfirman yang bermaksud, “Patutkan kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) kitab Taurat dan Injil dan mengingkari sebahagian yang lain? Maka tiada balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kamu selain kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat.”
7.       Apakah cara yang betul memilih pemimpin?
Pendirian yang betul untuk memilih pemimpin ialah mencalonkan dan memilih pemimpin yang akan memerintah rakyat dengan adil dan saksama kerana langit dan bumi telah didirikan atas nama keadilan. Hendaklah dilihat dalam parti dan calon yang dipilih sesiapa antara mereka yang mendekati sifat-sifat itu. Jika boleh disepakati atau digabungkan antara parti-parti Islam, maka inilah sebenarnya yang hak, diterima akal dan bijaksana.
                Dalam keadaan yang terdapat dua kemudaratan, pilihlah yang kurang mudarat iaitu kerjasama antara parti nasionalis dan parti Islam (yang sama-sama beragama Islam). Kerjasama ini hendaklah berasaskan Islam antara kedua-dua parti tersebut menurut kadar yang termampu daripada agama. Adalah HARAM bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam yang bertentangan dengan kaum Muslimin walau sebesar mana pun perselisihan antara mereka. Ini kerana kerjasama dengan parti-parti bukan Islam akan menjejaskan akidah Islam iaitu akidah wala’ (kesetiaan) saudara Muslim terhadap saudara seagama dan bara’ (penolakan) terhadap orang Islam dalam apa-apa jua keadaan.
(Sumber: Mingguan Malaysia, 27 Mei 2012)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge