Kemunduran Umat: Mengenali Antara Simptom dan Penyakit Sebenar

Suatu ketika, seorang lelaki sakit pinggang. Kemudian, dia cari minyak dan urut di pinggang dia tetapi tidak lega. Keesokan hari, dia pergi ke klinik untuk mengambil ubat sakit pinggang. Sepantas kilat doktor saspek dia terkena penyakit buah pinggang atau kencing manis. Lalu, dia disuruh menjalani ujian air kencing dan darah untuk memastikan bahawa dia betul-betul terkena penyakit itu. Setelah diperiksa, doktor mendapati darah dan air kencingnya berada pada tahap normal. Dia bukan terkena penyakit buah pinggang atau kencing manis.
          Kemudian, dia bertanya, “Habis, apa sakit saya doktor?”
          “Awak sakit di mana?” tanya doktor itu kembali.
          Kemudian, lelaki itu menyelak bajunya dan menunjukkan pinggangnya kepada si doktor. Si doktor itu menyuluh pinggang lelaki itu dengan lampu picit. Dia nampak sesuatu bintik-bintik pada pinggang lelaki itu.
          “Kayap!” kata doktor itu.
          “Kayap?” lelaki itu masih tidak percaya dirinya terkena kayap. Apa kena mengena kayap dengan sakit pinggang?
          “Lebih baik kamu pergi balik berubat secara tradisional. Di klinik ini, tiada ubat khas untuk kayap. Kami boleh bagi krim dan ubat antibiotik tetapi lebih baik kamu pergi berubat secara tradisional,” jawab doktor.
          Selepas mengambil ubat, lelaki itu pun balik dan terus bertanya ibunya kalau-kalau ibunya mengenali bomoh yang mahir mengubati penyakit kayap. Maka, ibunya pun memberitahu rumah sekian-sekian, ada seorang bomoh yang mahir mengubati kayap. Lelaki itu pun pergi berjumpa bomoh itu dengan membawa bedak sejuk yang dibekalkan oleh ibunya. Itulah saja petua untuk mengubati kayap iaitu bedak sejuk. Sesampainya di rumah bomoh, bomoh itu pun membacakan ayat-ayat yang entah apa-apa dan dihembuskan ke atas bedak sejuk itu dan kemudian berpesan, “Nanti balik, sapukan bedak sejuk ini di sekeliling pinggang yang terkena kayap itu. Jangan bagi kena air. Jangan makan makanan berminyak. Elok makan makanan yang rebus-rebus dan panggang sahaja.”
          Selama tiga hari, lelaki itu mengamalkan petua yang diberikan oleh bomoh itu namun kayapnya semakin banyak. Dia tidak mampu bergerak lebih kerana rupa-rupanya kayap itu sudah berakar ke dalam urat saraf pinggangnya. Patutlah pinggangnya sakit. Orang cakap, kayap ini seolah-olah percikan abu api neraka. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Hendak tidur malam pun susah. Hendak solat pun susah. Dia terpaksa ambil MC selama dua minggu.
          Kayap itu melarat sehingga menghabisi seluruh pinggangnya. Orang kata, “Jika kayap itu mengelilingi pinggang itu dan bertemu dengan tempat mulanya kayap, seperti tali pinggang, ia boleh membawa maut!”
          Lelaki itu semakin cuak. Akhirnya, dia berjumpa seorang ustaz dan menceritakan penyakit kayapnya. Ustaz itu meminta dia mengambil serumpun rumput, bedak sejuk, air dan limau nipis. Kemudian, ustaz itu membacakan doa lalu dihembuskan ke atas benda-benda tadi. Kemudian, dia berpesan seperti pesanan bomoh sebelum ini. Sapu bedak sejuk dengan akar rumput itu dan kena pantang makan makanan berminyak dan sebagainya. Alhamdulillah, selepas tiga hari, kayapnya beransur-ansur pulih.
Apakah pengajaran daripada kisah ini?
Di dalam memeriksa penyakit, kita mesti memahami antara simptom (tanda-tanda penyakit) dan penyakit sebenar. Sakit pada pinggang itu sebenarnya hanyalah simptom dan bukan penyakit yang sebenar. Penyakit sebenarnya ialah kayap. Punca kepada penyakit sebenar ialah si lelaki tadi gagal menjada kebersihan diri dan pakaiannya sehingga mengakibatkan bakteria dan kuman menyerang sarafnya. Pemakaian seluar dalam yang ketat atau lembap juga mungkin menjadi punca penyakit kayap itu. Selain itu, ia mungkin disebabkan sisa toksid dalam badan yang gagal dikumuhkan dengan baik lalu memudaratkan kesihatannya Itu daripada segi kajian sains.
Daripada sudut agama, lelaki tadi tidak menjaga kebersihan sedangkan kebersihan itu separuh daripada iman. Orang yang tidak menjaga kebersihan, disukai oleh syaitan. Syaitan sifatnya panas kerana diperbuat daripada api. Orang yang mengalami penyakit kayap terpaksa menahan kepedihan bagaikan kulitnya terkena percikan api. Sakitnya, hanya Allah yang tahu. Jadi, mungkin Allah ingin memberi pengajaran kepadanya, lalu dia diuji dengan kayap itu. Mungkin selepas sembuh, dia akan lebih berhati-hati dalam penjagaan pakaian dan pemakanannya.
Penulis mahu relate-kan situasi ini dengan situasi masalah kemunduran umat Islam yang berlaku sekarang ini. Pada hari ini, ramai umat Islam gagal melihat punca sebenar penyakit umat. Setiap orang melahirkan pendapat sendiri seperti si doktor tadi (walaupun ada kepakaran) yang sepantas kilat menyangka bahawa si pesakit itu mengalami kencing manis atau sakit buah pinggang tanpa melihat dahulu keadaan pinggangnya. Ini kerana, melalui pengalaman dia, antara tanda-tanda orang sakit kencing manis ialah sakit pinggang.
Maka, dalam dunia Islam, lahirlah berbagai-bagai pendapat untuk mengatasi masalah kerosakan akhlak umat Islam. Maka, lahirlah si jahil yang berlagak intelektual berkata, “Masalah buang bayi pada hari ini berlaku kerana remaja kita tidak belajar pendidikan seks!” Maka, apabila pendidikan seks diajar, masalah buang bayi berkurangan kerana para penzina telah diajar supaya memakai kondom!
Masalah kerosakan akhlak tidak juga selesai tetapi makin banyak perosak-perosak akhlak yang genius lahir membanjiri bumi.
Kemudian, berlaku pula tsunami, banjir besar dan gempa bumi. Maka, ahli geologi berkata, “Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu menyediakan tebatan banjir di setiap persisiran pantai dan memasang alat pengesan tsunami supaya kita bersedia lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.” Maka, tsunami, banjir besar atau lain-lain bencana alam tetap berlaku kerana cara mengatasi masalah itu tidak berpaksikan kepada punca sebenar!
Tahukah anda, apakah punca segala bala bencana di atas muka bumi ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana perbuatan manusia. Bukankah Allah telah mengingatkan. “Terjadinya segala kerosakan di atas muka bumi ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia …”?
Sifir yang paling mudah untuk kita hafal ialah: “Apabila manusia berbuat keburukan, maka keburukan akan turun ke bumi. Apabila manusia berbuat kebaikan, maka kebaikan akan turun ke bumi.” Budak darjah satu pun boleh hafal.
Jadi, punca sebenar kepada setiap masalah yang berlaku dalam umat Islam hari ini ialah kerana amalan manusia. Berapa ramai umat Islam hari ini yang bersolat lima waktu setiap hari? Dalam banyak-banyak orang yang solat, berapa pula yang solat berjemaah di masjid? Dalam banyak-banyak yang solat di masjid, berapa ramai pula yang kusyuk dan diterima solatnya? Lihatlah pada diri sendiri, bukan pada orang lain. Ini baru bab solat, belum lagi bab lain.
Apakah pula puncanya amalan umat Islam hari ini lemah? Hendak bangun solat Subuh pun payah! Jawapannya kerana lemahnya iman. Bukan kerana tidak ada ilmu tetapi kerana lemahnya iman. Orang yang berilmu pun, kalau lemah iman, maksiat buat juga.
Maka, punca sebenar kepada penyakit umat hari ini ialah masalah iman. Tidak kira sama ada dia ialah Perdana Menteri atau rakyat jelata. Tidak kira sama ada dia ialah parti pembangkang atau parti kerajaan, semuanya kena buat usaha atas iman. Iman adalah perkara pokok dalam agama. Tanpa iman, sia-sialah amalan.
“Tapi, kami sudah beriman. Mengapa perlu usaha atas iman lagi?”
Allah sudah jawab dalam al-Quran, “Wahai orang yang beriman, berimanlah kamu.” Jika sudah mendapat panggilan orang beriman, mengapa Allah masih suruh kita beriman?
Iman perlu diusahakan hari-hari, sampai kita mati boleh mengucap kalimah toyyibah. Sifir yang kedua pun mudah sahaja: “Apa yang kita usahakan, itulah yang masuk dalam hati kita. Apa yang ada dalam hati kita, itulah yang akan keluar waktu kita mati.”
Jika hari-hari jual sayur sampai kebesaran sayur masuk dalam hati, maka ketika matinya, dia akan sebut “Sayur …. sayur …..”
Jika hari-hari sebut, “Allah Maha Kuasa! Allah Maha Hebat! Allah jadikan semua makhluk!” maka insya-Allah, nama Allah akan disebut ketika akhir kalam kita.
Semoga kita terpilih untuk mengakhiri kematian kita dengan husnul khatimah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. ank_ayah says:

    Amin insyaAllah..

Leave a Reply to ank_ayah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge