Jangan Malu Mengaku Jahil

Apabila kita diajukan permasalahan agama sedangkan kita tidak memiliki ilmu mengenainya, apa yang akan kita jawab?
”Err … pada pendapat saya … .”
”Kalau tak silap … sebenarnya begini … .”
”Itu pun kau tak tahu? Apalah kau ni!”
Dan macam-macam lagi jawapan yang mungkin kita bagi ikut sedap hati dan mulut. Sukarnya untuk kita berkata,” Saya tak tahu … .”
Saya memetik kata-kata Ibnu Mas’ud RA yang berbunyi,” Takutlah kalian dengan pendapat sendiri kerana orang sebelum kalian hancur kerana mengikut pendapat sendiri. Janganlah kamu mengkiaskan sesuatu dengan sesuatu yang lain, maka telapak kakimu akan tergelincir setelah tetapnya. Dan apabila salah seorang daripada kalian ditanya sesuatu yang tidak diketahui maka jawablah,’Allahu a’lam (hanya ALLAH yang Maha Mengetahui)’ kerana jawapan itu adalah satu pertiga ilmu.”
Ibnu Abbas RA pula berkata,”Pastikan itu adalah Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya. Barangsiapa yang berkata setelah itu dengan pendapatnya sendiri, maka aku tidak tahu apakah ia dalam kebaikan atau dalam keburukan.”
Di samping itu, Umar RA pula berpesan,” Wahai manusia, sesungguhnya pemikiran (pendapat/ideologi) itu hanya dari Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah-lah yang memberikan pemikiran itu kepadanya. Pemikiran yang selain daripada kami (Nabi dan Sahabat) itu aadalah prasangka dan bersusah payah dalam prasangka.”
Beliau meneruskan,” Sesungguhnya orang yang mempunyai pemikiran sendiri adalah musuh-musuh sunnah yang melemahkan mereka dalam memelihara sunnah dan melepaskan pemeliharaan daripada mereka. Mereka malu jika berkata, ’KAMI TAK TAHU’ ketika ditanya. Maka, mereka berpaling dari sunnah kepada fikiran sendiri. Takutlah kalian dan jauhilah mereka.”
Pernah suatu ketika Imam Malik rah.a disoal sesuatu yang tidak beliau ketahui jawapannya. Maka, beliau menjawab,”Saya tak tahu.”
Orang itu berkata,”Kau seorang alim besar, takkan tak tahu? Apa aku nak jawab dengan mereka yang bertanya (kaumnya)?”
”Beritahu kaum kamu, Imam Malik tak tahu!”
Begitu berhati-hati Imam Malik dalam bab ilmu. Jika sesuatu itu tidak beliau ketahui, beliau tak segan silu untuk berkata,” Saya tak tahu.”
Meskipun begitu, ketika Rasulullah SAW mengutus Muaz bin Jabal RA ke Yaman, baginda bertanya,” Bagaimana kamu berhukum ketika datang sesuatu masalah?”
Muaz RA menjawab,” Dengan Kitab Allah.”
”Jika kamu tak jumpa dalam Kitab Allah?”
” … Maka dengan sunnah Rasulullah.”
”Jika kamu tak jumpa dalam sunnah Rasulullah?”
”… Maka saya akan berijtihad dengan pemikiran saya sendiri dan saya takkan gelabah dalam memutuskannya.”
Lantas, Rasulullah SAW memegang dada Muaz RA dan bersabda,”Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufik kepada utusan Rasulullah dengan perkara yang telah diredhai-Nya.”
Kesimpulannya, tepuk dada tanya iman – ”Ilmu saya setakat mana?”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge