Episod 7 – Cari Duit Poket di Asrama

Malam itu Farouk meminta pertolongan dariku, “Khairi, boleh tak tolong potong rambut aku ni?.”
“Aku tak berapa pandailah, Farouk. Malam-malam ni tak elok gunting rambut,” aku menjawab.
“Tolonglah, rambut aku dah berserabut ni,” Farouk terus merayu.
“Okay, i try,” aku terus mencapai gunting dan sikat dari dalam almari.
Ketika sedang asyik menggunting rambut, tiba-tiba aku tergunting sedikit cuping telinga Farouk.
“Adoi!” jerit Farouk.
“Maaf, tak berapa nampak tadi, sakit tak?,” aku terasa sedikit bersalah.
“Nevermind. Small matter only,” mujurlah dia tidak menyalahkan aku.
Tatkala itu jam telah menunjukkan pukul 11.00 malam. Aku rasa semakin mengantuk. Tiba-tiba datang pula Muzammil sambil tersenyum-senyum dan berkata, “Selepas Farouk gunting rambut aku pula, boleh?”.
“Maaflah Mil, aku dah mengantuk ni. Tadi baru terpotong telinga Farouk. Takut-takut nanti telinga hang pulak kena kerat.” jawapanku itu membuatkan Muzammil beredar dari situ. Aku agak kecewa kerana tidak dapat menolongnya pada malam itu.
Sebenarnya, itulah kali pertama aku menggunting rambut. Selepas hari itu ramai pula rakan-rakan yang datang minta tolong untuk menggunting rambut. Kadang-kadang mereka memberiku seringgit sebagai upah atau membelanja aku makan mee segera. Banyak juga habuan yang aku dapat hasil kerjaya sebagai penggunting rambut amatur.
Selain menggunting rambut, aku juga mencari pendapatan sampingan melalui penjualan kemeja-T secara tempahan. Bagi tiap-tiap baju yang ditempah, aku akan mendapat komisen dua ringgit. Sesekali berlaku sedikit masalah apabila ada seorang budak yang enggan membayar setelah mendapat bajunya. Jika dia masih dalam sekolah mungkin masih dapat dicari tetapi budak itu telah bertukar sekolah dan membawa baju itu sekali. Kejadian itu menjadi satu pengajaran buatku agar lebih berhati-hati.
Satu lagi sumber duit poket aku adalah dengan menjual sticker ( pelekat). Aku menoreh sendiri sticker itu menggunakan pisau pemotong yang khas. Ada beberapa orang rakan menyuruh aku membuat sticker yang menyerupai wajah mereka apabila mereka teruja melihat sticker wajahku di atas meja di dalam kelas.
Tatkala pelajar lain mendapat duit poket yang diberi oleh waris mereka tiap-tiap bulan, aku sudah mampu menanggung belanja sendiri. Aku tahu, adik-adikku yang masih di bangku sekolah lebih memerlukan duit daripada ayah dan emak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge