Episod 11 – Hari Pertama Seorang Student

Hari ini keputusan SPM diumumkan. Aku berpakat dengan beberapa orang rakanku untuk mengambil slip keputusan peperiksaan itu di sekolah. Hatiku berdebar-debar sepanjang perjalanan di atas motosikal.
Sampai di sekolah, rakan-rakan yang lain telah pun beratur di dalam dewan untuk mengambil slip. Aku lihat ada yang gembira dan ada pula yang biasa-biasa sahaja. Masing-masing bertanya sesama mereka mengenai keputusan peperiksaan itu.

Setelah sampai giliran aku, cikgu tersenyum dan mengucapkan tahniah sambil menyerahkan sekeping slip kepadaku. Aku membelek satu per satu setiap subjek dan keputusannya.

“5A 3B 2C. Alhamdulillah!” kataku perlahan. Selepas mengambil slip itu, aku dan rakan-rakan bergerak ke kantin untuk mendapatkan sedikit makanan kerana terlalu lapar. Sambil makan, kami bersembang mengenai kursus-kursus yang bakal diambil di universiti.

“Kau nak ambil kursus apa?” tanya Firdaus kepadaku.

“Aku rasa macam nak sambung dalam bidang kejuruteraan mekanikal,” ujarku sambil membelek-belek borang kemasukan ke universiti.

“Aku cadangkan kau ambil kejuruteraan kimia kerana subjek kimia kau dapat A” Firdaus mencadangkan kepadaku.

“Aku rasa terkejut juga dapat A dalam kimia ni. Dahulu aku kena masuk kelas pemulihan kimia dengan Cikgu Yaman sebab dalam peperiksaan selalu gagal. Aku rasa dah letih belajar kimia, nak belajar benda lainlah pulak”, jawabku sambil kami melangkah meninggalkan kantin.

Kami tidak menunggu lama di sekolah dan terus pulang ke rumah selepas solat Zohor. Aku tidak bersabar untuk memberitahu emak dan ayah mengenai keputusan ini.
                                                                         ***
Hari ini merupakan hari pertama aku melangkah masuk ke pintu gerbang universiti yang tersergam indah. Kampus cawangan itu terletak di sebuah pekan kecil di sebuah negeri paling utara di semenanjung Malaysia. Pokok-pokok yang rendang dan beralun-alun apabila ditiup angin sepanjang jalan di kampus tersebut seakan-akan mengucapkan selamat datang kepada para pelajar baru.

“Di mana kita nak daftar ni?” aku bertanya kepada seorang rakanku yang turut sama datang untuk mendaftar.
“Kita pergi sahaja di tempat yang ada orang ramai,”sahut Boy yang juga berasal dari Changlun.
Apabila kami sampai di dewan utama, kami lihat ramai orang sedang beratur. Lantaran itu aku pun berkata, “Mungkin di sini agaknya tempat pendaftaran itu.”
“Eh, macam kenal saja budak ni!” ujarku apabila ternampak seseorang yang pernah aku kenali.
“Arif!” jeritku sambil memegang bahu pemuda itu.
“Khairi! Kau dapat sambung belajar di sinikah?” ujar Arif sambil menghulur tangannya kepadaku.
“Ya. Kau buat apa di sini? Mendaftar jugakah?” aku terus bertanya Arif.
“Eh, taklah. Aku cuma datang teman ibu aku. Dia pensyarah di sini. Kau dapat kursus apa?” Arif bertanya balas.
“Mechanikal engineering,” jawabku.
“Di mana nak daftar ni?” aku bertanya Arif.
“Kau terus saja masuk ke dalam dewan tu.” ujarnya sambil menunjuk ke arah dewan utama.
“Okay, terima kasih. Kami pergi dulu ya. Assalamualaikum,” aku meminta izin untuk terus ke kaunter pendaftaran.
“Waalaikumussalam,” jawaban salam itu mengakhiri pertemuan kami pada hari itu.
Ketika melangkah ke dewan, Boy bertanya, “Siapa tadi tu?”.
“Kawan lama aku sewaktu di sekolah rendah dulu. Kau tak perasan kah? Dulu dia bersekolah sama dengan kita.” ujarku.
“Aku dulu bersekolah rendah di sekolah Cina bukannya sekolah kebangsaan,” Boy menjawab.
“Allahuakbar! Aku terlupa pula hal tu,” ucapku sambil tersenyum. Kami mendapatkan barisan dan terus beratur. Setelah selesai sesi pendaftaran, kami terus ke kolej kediaman yang telah dikhaskan untuk pelajar-pelajar baru. Selepas tengahari sesi orientasi untuk para pelajar baru bermula.

Saat detik masuknya aku ke universiti, aku bercita-cita untuk menjadi lebih dewasa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge