CERPEN INDIE: “BUAYA”

“BUAYA”

 

~Sebuah kisah konspirasi bersalut tragedi (Jangan baca sambil makan durian, nanti terlekat biji durian)~

 

Kampung Buaya kini gempar dengan kehilangan seorang anak gadis yang dipercayai hilang sewaktu menaiki rakit di sungai. Sudah 48 jam, dia tidak pulang ke rumah. Seluruh penduduk kampung berkumpul di rumah Pak Mail, ayah si gadis itu.

“Lihatlah mata emaknya, bengkak-bengkak menangis teringatkan anaknya,” kata Pak Mail.

 

“Ya, kami faham perasaan Pak Mail dan isteri. Tapi, ini semua ujian Tuhan. Mungkin Allah sedang uji tahap iman Pak Mail.” Pak Abu cuba menyabarkan Pak Mail.

 

“Cakap di mulut memang mudah, tapi badan yang menanggung ni, hanya Allah Yang Tahu.”

 

Fasha, seorang anak gadis yang baik. Dia tidak pernah melawan cakap emak dan ayahnya. Cuma, mereka ada menghalangnya berkawan dengan Azroy. Justeru, teori kehilangan Aisyah buat pertama kalinya mengaitkan nama pemuda itu.

 

“Sebelum dia keluar, ada tak dia pesan apa-apa?” Tanya Tok Moh, seorang dukun.

 

“Dia cakap nak pergi ke kampung seberang, naik rakit,” jawab Pak Mail.

 

“Takpa, biar saya tilik dulu di mana dia berada.”

 

***

 

Keesokan hari, sekali lagi kampung Buaya gempar. Kali ini, Pak Don mengamuk kerana kehilangan bubu yang selalu digunakannya untuk menangkap ikan.

 

“Siapa pula yang curi bubu aku ni? Nanti aku dapat, nahaslah kau aku kerjakan!” Amaran Pak Don bermisai taring itu membuatkan para penduduk tidak berani menjawab.

 

Belum lagi reda kemarahan Pak Don, Pak Ramli pula datang mengadu di Kedai Makan Mak Leha, “Aduh … siapa pula yang curi tikar mengkuang aku? Aku baru saja jemur. Tup tup dah hilang.”

 

“Saya pun nak mengadu juga!” Tiba-tiba Asyraff menyampuk. “Semalam saya ada beli teropong mainan untuk adik saya. Tetiba pagi tadi hilang!”

 

Semua mengadu masalah masing-masing. Temanya ialah, ‘HILANG’.

 

Lalu, mereka cuba membuat kesimpulan awal. “Ini mesti kerja Azroy! Takda orang lain dah. Mesti kerja dia ni!”

 

Lalu, mereka semua menggeledah rumah Azroy. Namun, tiada apa yang yang dijumpai kecuali sehelai baju, kain pelekat, seluar stung dan capal. “Inilah saja yang saya ada. Buat apalah saya nak mencuri.”

 

Penduduk kampung yang kehilangan barang-barang mereka masih tidak berpuas hati. Iman mereka teruji. “Jom kita pergi jumpa Tok Moh. Biar dia jampi.” Pak Don memberikan cadangan.

 

“Ya, jom! Kita ajar sikit siapa yang buat tahana kat kita!”

 

Maka, Pak Don, Pak Mail, Asyraf dan Pak Ramli pun bergegas ke rumah Tok Moh. Sesampainya di rumah Tok Moh, dia tersenyum. “Aku tahu kenapa kau orang semua kemari. Aku sudah tahu!”

 

“Apa yang Tok Moh dah tahu?”

 

“Kamu semua nak cari barang hilang kan? Aku tahu … aku tahu … .”

 

“Tok Moh tahu, mana barang-barang kami?”

 

“Aku boleh tolong kamu, tapi dengan satu syarat. Jemput wartawan datang ke sini. Aku akan buat demonstrasi.”

 

“Baiklah Tok Moh. Kami akan jemput semua wartawan dalam dan luar negara untuk datang ke sini.”

 

Pada keesokan hari, rumah Tok Moh dipenuhi oleh penduduk kampung yang mahu menyaksikan amalan ritual mencari barang hilang. Tok Moh pun membawa keluar barang-barangnya yang sering digunakan untuk menjampi.

 

“Aku dah nampak … aku dah nampak …” kata Tok Moh.

 

“Apa yang Tok Moh nampak?” soal Pak Mail.

 

“Anak gadis kamu disembunyikan oleh ‘kokedai’.”

 

“Hah! Kokedai?”

 

“Ya, kokedai. Tapi takpa, aku akan jampi bagi dia selamat.”

 

Sementara itu, semua wartawan dan para penduduk mengeluarkan telefon pintar masing-masing untuk merakam aksi Tok Moh. Serta merta di-upload ke dalam Youtube dan Facebook.

 

Azroy yang membaca status di FBnya terus segara datang ke rumah Tok Moh.

 

“Hentikan semua ini! Ini semua khurafat!” jerit Azroy.

 

“Kau jangan masuk campur, ini urusan orang tua-tua. Sekali aku lempang kau macam pelempang buaya baru kau tau!” marah Tok Moh.

 

“Saya akan bongkarkan apa yang sebenarnya yang terjadi. Ini semua konspirasi!” Azroy bertahan.

 

“Konspirasi apa! Kau jangan libatkan masalah politik dalam isu ini! Nanti aku suruh Tok Imam pecat kau jadi AJK Masjid. ” Tok Moh marah.

 

“Saya tak takut Tok Moh! Biar saya hilang jawatan asalkan saya tak hilang iman.”

“Kurang ajar kau ni. Memang nak makan pelempang.”

 

“Sabar Azroy, sabar. Hormat sikit orang tua-tua. Dia lebih banyak makan garam.” Zack cuba menyabarkan.

 

“Patutlah kena darah tinggi.”

 

Zack kemudian mengheret tangan Azroy keluar dari situ. Jika dibiarkan, akan meletuslah Perang Dunia Ketiga.

 

***

“Apa sebenarnya yang kau nak beritahu, Azroy? Konspirasi apa yang kau cakapkan tadi?” soal Zack.

 

“Semalam, aku nampak ada budak curi bubu, tikar dan teropong. Aku tak kenal siapa dia. Tapi, kalau aku nampak muka dia, aku boleh cam.”

 

“Jadi, apa hubungannya dengan kehilangan Fasha?”

 

“Ada orang mahu sabotaj Pak Mail untuk bertanding jawatan Ketua Kampung. Dia dah culik Fasha dan menyembunyikannya.”

 

“Nanti kau akan tahu siapa dia?”

 

“Macam mana kau tahu perkara ini? Mesti kau baca kat Internet kan? Maklumat kat Internet takleh caya la wei.”

 

“Terpulanglah. Nanti kau sendiri akan tahu. Sebelum terputus hubungan, Fasha akan send wassap kat aku mengatakan dia diculik. Tapi lepas tu, bateri henpon dia kong.”

 

***

 

“Ayah, hentikan semua ini!” Tanpa diduga, Fasha muncul di depan pintu rumah Tok Moh.

 

“Anak ayah!” jerit Pak Mail sambil memeluk anaknya. “Ke mana kau pergi, anakku?”

“Ada orang culik saya. Mujur saya diselamatkan oleh Azroy.”

 

“Mana Azroy?”

 

“Sekarang dia pula kena tangkap.”

 

“Aduih. Konspirasi apakah ini?”

 

“Tapi, saya tahu tempat itu. Mari kita pergi selamatkan dia.”

 

Tiba-tiba Tok Moh menyampuk, “Jangan! Nanti kau orang akan dibaham buaya!”

“Ah. Sudahlah Tok Moh. Dari semalam dok menjampi, takdak hasil pun,” bentak Pak Mail.

“Sabar dulu, biar aku jampi sekali lagi untuk selamatkan kau orang daripada buaya.” Tok Moh masih berusaha untuk membantu. Kemudian, dia masuk ke dalam biliknya dan mengeluarkan sebuah bubu, teropong dan tikar.

 

“Aik! Kat mana Tok Moh ambik barang-barang ni?” soal Asyraff. “Macam kenal jer … macam kenal jer … .”

 

Tok Moh terpinga-pinga lalu menjeling ke arah dua orang pembantunya. Kedua-dua mereka menundukkan kepala sambil tersengih. Kemudian, mereka menjawab, “Eh, bukanlah Tok Moh yang suruh kami cari?”

 

“Aku suruh beli … bukan curi la mangkuk! Sudah. Mulai hari ini aku pecat kamu berdua.”

 

Masalah kecurian teropong, tikar dan bubu selesai. Kini, Azroy masih dalam tawanan yang tidak tahu siapa dalangnya.

 

Krik … krik … krik …

 

“Ayah, cepatlah … selamatkan Azroy.” Fasha menyedarkan mereka daripada situasi ‘pending’.

“Let’s go!”

 

***

 

Seluruh penduduk kampung kemudian tiba di sebuah rumah buruk di hujung kampung. “Ayah, di sinilah saya diculik. Mungkin Azroy masih ada di dalam.”

 

“Perhatian kepada semua penghuni rumah! Anda sudah dikepung. Lebih baik kamu semua serah diri” jerit Pak Mail, bekas seorang polis.

 

“Tolong saya! Tolong saya!”

 

“Ayah, itu suara Azroy.”

 

Mereka pun bergegas masuk. Tiada siapa di dalam. Hanya ada Azroy. Pak Mail segera melepaskan Azroy.

 

“Azroy, Pak Mail minta maaf sebab sebelum ni banyak sangka buruk pada kamu yang bukan-bukan. Kau dah selamatkan anak aku, sekarang kau pula kena kidnap.”

 

“Biasalah Pak Mail. Saya dah anggap Pak Mail ni macam keluarga saya. Cubit paha kanan, paha kiri rasa sakit. Apabila Fasha hilang, saya tak boleh tidur malam.”

 

Fasha tersenyum mendengar ayat-ayat tangkap leleh Azroy. Seluruh penduduk kampung berasa gembira semuanya sudah selesai. Cuma, mereka belum tahu siapakah dalang penculikan Fasha dan Azroy. Misteri itu dilupakan begitu sahaja. Apa yang penting, Fasha dan Azroy selamat.

 

***

Hari ini adalah hari yang paling berbahagia buat mereka. Sudah lama mereka menanti saat ini. Selepas ijab kabul, Azroy mencium dahi isterinya. Kemudian berbisik, “Sayang, akhirnya berjaya juga konspirasi kita. Sejak peristiwa itu, mudah saja ayah sayang terima abang jadi menantu.”

 

~KALAUA ANDA RASA MACAM NAK PELEMPANG BUAYA, SILA SHARE.~

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

1 Response

  1. Naurah says:

    Assalamualaikum. Memang kelakar! Dan sentap 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge