Cara Hasan al-Basri Menangani Kezaliman Hajjaj

Hasan al-Basri sangat berpengaruh. Gabenor pada masa itu iaitu Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi tidak menyukai para ulama. Dia telah membunuh ribuan orang Islam termasuk para Sahabat Nabi SAW dan para ulama. Selain orang yang dibunuh dalam peperangan, jumlah mangsa yang dibunuh olehnya ialah 120 ribu orang. Hajjaj juga tidak menyukai Hasan. Maka, dia telah menjalankan beberapa rancangan untuk membunuh Hasan. 
Pada suatu hari, Hajjaj telah mengupah seorang pembunuh untuk menjalankan kerja terkutuk itu. Hajjaj dan pembunuh upahan itu kemudiannya pergi ke majlis Hasan. Ketika itu, dia sedang mengajar. Dengan pedang yang dipegang, setiap orang yang melihat mereka berasa takut dan bimbang. Mereka berkata, “Ya Allah, apakah yang akan terjadi kepada syeikh?”
            Warna merah mewarnai mata Hajjaj. Namun begitu, Hasan begitu tenang menyambut kedatangannya. Dia bangun dari tempat duduknya lalu memegang tangan Hajjaj sambil berkata, “Kamu apa khabar? Adakah kamu murid baharu? Bagaimana urusan pekerjaan kamu hari ini?”
            Dengan izin Allah, Hajjaj tidak jadi untuk bertindak apa-apa. Dia cuma meminta agar Hasan berdoa untuk kebaikannya dan kemudian dia pun pergi dari situ.
            Anak murid Hasan yang lain tertanya-tanya, “Apa yang sedang berlaku?”
            Jawab Hasan, “Adakah kamu menyangka bahawa dia itu Tuhan?”
            Balas mereka, “Kami risau mengenai keadaan tuan. Dia sangat berbahaya. Lebih baik tuan tinggalkan tempat ini. Tiada ulama pada zaman ini yang menerima layanan baik daripada Hajjaj. Adakah tuan ada mengamalkan apa-apa doa?”
            Kemudian, Hasan memberitahu bahawa dia membaca sebuah doa yang bermaksud, “Ya Allah, sejukkanlah kemarahannya sebagaimana Engkau telah sejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim.”
            Hasan al-Basri pernah berkata, “Sesungguhnya kemunculan Hajjaj adalah disebabkan azab daripada Allah. Maka, janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi, wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri kerana sesungguhnya Allah telah berfirman, “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah al-Mukminun, 23: 76)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge