BUKU TERBAHARU: 20 KISAH KEAJAIBAN SAHABAT


Para Sahabat RHUM adalah manusia termulia di atas muka bumi ini setelah Para Nabi dan Rasul AS. Kekuatan iman dan pegangan sunnah yang mereka miliki memang tidak ada tolok bandingnya. Merekalah manusia yang awal-awal beriman, hidup bersama-sama Rasulullah SAW dan berjuang menyebarkan kalimah Allah sehingga ke seluruh pelusuk alam dalam susah atau pun senang. Jika diselak semula kitab sirah, kita akan mengetahui begitu banyak kisah kehidupan mereka yang sepatutnya menjadi panduan kepada generasi hari ini. Atas maksud itulah, buku ’20 Kisah Keajaiban Sahabat’ ini ditulis bagi menceritakan mengenai kehebatan Para Sahabat yang telah mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT dengan gelaran radiallahu anhuma.

ISI KANDUNGAN;

1.      Zaid Bin Harisah R.A.: Bantuan Malaikat Ketika Dirompak
Mengisahkan perjalanan hidup Zaid r.a. bermula detik dirinya menjadi hamba, kemudian dinaikkan taraf menjadi anak angkat Nabi SAW. Zaid menjadi orang yang paling disayangi oleh Baginda sehingga sering dilantik menjadi panglima perang dalam setiap peperangan. Zaid pernah mengalami peristiwa aneh tatkala dirinya hampir dengan maut di tangan seorang perompak. Namun, bantuan ghaib daripada Allah SWT telah menyelamatkan beliau daripada dibunuh asbab permohonan perlindungannya kepada Allah SWT melalui amalan solat.
2.      Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah R.A.: Ikan Besar Untuk Tentera Yang Kelaparan
Beliau diakui sebagai orang paling amanah oleh Rasulullah SAW dan sering menjadi tempat rujukan oleh setiap khalifah pada zamannya. Beliau tergolong antara Sahabat yang paling awal memeluk Islam. Kecintaannya kepada Nabi SAW terbukti dalam Perang Uhud apabila beliau sanggup mematahkan giginya untuk mencabut besi yang terbenam di pipi Baginda. Beliau pernah memimpin sepasukan tentera yang terputus makanan di tengah perjalanan. Namun, bantuan ghaib daripada Allah datang berupa seekor ikan Ambar yang besar. Ikan tersebut menjadi santapan mereka selama beberapa minggu.

3. Jaafar Bin Abi Talib At-Thayyar R.A.: Lelaki Bersayap
Beliau ialah wakil Nabi SAW untuk bertemu Raja Najasyi dalam peristiwa hijrah pertama. Beliau bijak menyusun kata sehingga akhirnya Najasyi beriman. Selepas penaklukan Khaibar, beliau dan umat Islam berhijrah ke Madinah. Jaafar r.a. pernah dilantik menjadi amir dan meninggal dunia dalam Perang Muktah dengan kedua-dua tangannya putus. Beliau dijanjikan sayap di syurga sebagai ganti tangannya yang putus itu.

4. Said Bin Zaid R.A.: Doa Yang Dimakbulkan
Beliau mendapat hidayat berkat doa ayahnya walaupun ayahnya tidak sempat berjumpa Nabi SAW. Beliau adalah adik ipar Umar r.a. dan tergolong antara 10 orang Sahabat yang dijanjikan syurga dalam hadis. Beliau juga menjadi antara asbab Umar r.a. mendapat hidayat. Kebelakangan hari, beliau telah difitnah oleh seorang wanita jahat yang menuduh beliau merampas tanahnya. Asbab doa beliau, Allah telah tunjukkan siapa yang benar antara mereka dan wanita itu mati dalam keadaan yang mengaibkan.

5. Sayidina Hamzah Bin Abdul Mutalib R.A.: Jenazah Yang Dimandikan Oleh Malaikat
Beliau menjadi pembela Rasulullah SAW ketika Baginda dihina oleh Abu Jahal. Keberaniannya itu menimbulkan gentar di hati pihak Quraisy. Tidak hairanlah beliau digelar ‘Singa Allah’. Dalam Perang Uhud, beliau telah syahid ditombak oleh Wahsyi yang akhirnya memeluk Islam. Beliau juga dijanjikan sebagai penghulu para syuhadak.

6. Tufail Bin Amru Ad-Dausi R.A.: Cahaya Pada Wajahnya
Beliau adalah seorang penyair hebat yang akhirnya terpaksa mengalah dengan kehebatan ayat al-Quran. Setelah memeluk Islam, beliau terus berdakwah kepada kaumnya dan Allah mengeluarkan cahaya pada wajahnya. Akhirnya, kaum Daus ramai-ramai memeluk Islam termasuk Abu Hurairah r.a..

7. Saad Bin Abi Waqqas R.A.: Menyeberangi Sungai Tigris Dengan Kuda
Beliau memeluk Islam ketika remaja, menjadi orang pertama yang melepaskan panah ke arah musuh dan orang pertama yang terkena panah musuh. Beliau sering dilantik menjadi amir dan pernah mengalami peristiwa aneh ketika bersama-sama tentera Islam menyeberangi Sungai Tigris yang bersaliran deras dengan hanya menunggang kuda. Semua ini adalah antara bantuan ghaib kepada Para Sahabat.

8. Saad Bin Muaz R.A.: Matahari Madinah Yang Diziarahi Para Malaikat
Saad bin Muaz r.a. merupakan seorang Sahabat Nabi SAW dari kalangan Ansar, yakni penduduk Madinah. Sebelum memeluk Islam, beliau merupakan seorang pemuda yang berpengaruh di kota itu dan sangat kuat menentang dakwah Mus‘ab bin Umair r.a.. Namun, akhirnya beliau memeluk Islam dan menjadi pembela yang kuat serta perancang strategi yang bijak. Beliau syahid akibat terkena panah dalam Perang Khandaq dan jenazahnya mendapat penghormatan daripada para malaikat.

9. Salman Al-Farisi R.A.: Bantuan Allah Dalam Perang Khandaq
Salman r.a. mempamerkan kebijaksanaannya dalam merancang strategi Perang Khandaq (parit). Dalam peristiwa ini juga dipaparkan bagaimana tentera Islam mendapat bantuan ghaib berupa makanan yang cukup untuk semua mereka dengan hanya sepinggan roti dan seekor anak kambing. Allah juga menghantar angin kencang untuk memporak-perandakan musuh. Juga alamat kepada kejatuhan Rom dan Parsi melalui percikan api daripada batu yang dipukul oleh Rasulullah SAW.

10. Abu Darda’ R.A.: Periuk Berzikir
Mengisahkan bagaimana beliau memeluk Islam asbab saudaranya, Abdullah bin Rawahah r.a.. Asalnya, beliau ialah seorang pedagang dan kerana bimbangkan masanya dan tawajjuhnya tidak tertumpu pada Allah, beliau sanggup meninggalkan perniagaannya untuk menumpukan perhatian terhadap Allah. Beliau dikurniakan hikmah dan menjadi ikutan para ahli tasawwuf. Asbab zikir yang selalu diamalkannya, periuk di rumahnya turut mengalunkan tasbih.

11. Ala’ Bin Hadhrami R.A.: Berkuda di Atas Air
Beliau menjadi panglima tentera ke Bahrain. Dalam perjalanan itu, mereka mengalami peristiwa aneh. Allah menurunkan hujan tatkala bekalan mereka kehabisan dan mereka menyeberangi laut Bahrain dengan hanya menunggang kuda. Beliau syahid dalam peperangan itu dan beliau disemadikan di sebuah tempat. Cahaya keluar dari kuburan beliau.

12. Tamim Ad-Dari R.A.: Pertemuan Dengan Dajjal
Sebelum memeluk Islam, beliau pernah bertemu dengan Dajjal tatkala beliau dan rakan-rakannya tersadai di sebuah pulau. Nabi SAW membenarkan kisah itu. Beliau juga menjadi orang pertama yang membawa lampu ke Masjid Nabawi setelah 9 tahun berada dalam kegelapan.

13. Muaz Bin Jabal R.A.: Penangkap Syaitan
Mengisahkan bagaimana beliau berhadapan dengan syaitan yang menyamar untuk mencuri kurma pada waktu malam. Dalam peristiwa ini, syaitan mengkhabarkan satu petua untuk mengelakkan rumah dimasuki syaitan iaitu dengan membaca ayatul Kursi. Kenyataan itu dibenarkan oleh Rasulullah SAW walaupun ia datang daripada syaitan.

14. Safinah: Bercakap Dengan Harimau
Mengisahkan tiga cerita yang berbeza tetapi berkaitan dialog harimau dengan Para Sahabat r.hum

15. Sayidina Umar Bin Al-Khattab R.A.: Menundukkan Sungai Nil
Mengisahkan dua karamah beliau. Pertama, dengan hanya menulis surat untuk Sungai Nil, airnya yang kering melimpah ruah sehingga tidak surut lagi. Kedua, dengan bantuan Tamim ad-Dari r.a., beliau menghalau lahar gunung berapi masuk kembali ke lubangnya.

16. Hisyam Bin Al-As Al-Amawi R.A.: Menggoncang Istana Hercules
Mengisahkan pertemuan beliau bersama-sama seorang lagi Sahabat bertemu Hercules. Dengan laungan takbir, istana Hercules bergoncang.

17. Hisham Bin Al-As Al-Amawi R.A.: Penemuan Gambar Para Rasul
Hercules membenarkan mereka tinggal di istananya selama 3 hari. Dalam tempoh tersebut, mereka berpeluang melihat gambar para Nabi yang tersimpan di istana itu. Ia adalah gambar yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Adam a.s. tatkala Nabi Adam a.s. meminta untuk melihat keturunannya.

18. Abu Hurairah R.A.: Bantuan Ghaib Kepada Ahlus Suffah
Beliau sebatang kara dan hidup bersama-sama Ahlus Suffah. Pernah mengalami beberapa peristiwa aneh yang merupakan bantuan ghaib daripada Allah SWT untuk dirinya dan rakan-rakannya yang sentiasa sabar menahan lapar.

19. Sayidina Umar Al-Khattab R.A.: Dialog Dengan Ahli Kubur
Pada zaman kekhalifahan Sayidina Umar bin al-Khattab r.a, terdapat seorang pemuda yang sangat rajin beribadat. Beliau sangat rajin berulang-alik ke masjid sehinggakan Amirul Mukminin kagum kepadanya. Beliau mati tatkala menyelamatkan imannya daripada godaan seorang perempuan cantik. Sayidina Umar r.a. diizinkan Allah berdialog dengan pemuda itu di dalam kubur dan pemuda itu berkata bahawa dia telah dikurniakan syurga.

20. Amru Bin Jamuh R.A.: Tempang Bukan Halangan
Beliau memeluk Islam setelah ketiga-tiga anak lelakinya terlebih dahulu memeluk Islam. Pada usia yang tua, beliau tetap mahu berjihad walaupun kakinya tempang sebelah. Beliau syahid dalam perang Uhud dan jasadnya tidak reput walaupun setelah beberapa puluh tahun selepas itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

2 Responses

  1. Anonymous says:

    thanks kerana memberikan entry tentang sahabat2 Rasulullah SAW.. jika diizinkan Allah SWT, harap saudara dapat mengeluarkan entry tentang kisah Khalid Al-Walid atau lebih dikenali sebagai Pedang Allah.

  2. Anonymous says:

    Alhamdulillah … mudah-mudahan tuan mendapat keberkatan dari ALLAH S.W.T.. insyaAllah..JazakaAllah<br /><br />

Leave a Reply to Anonymous Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge