Bagaimana Saya Menulis Novel?

 

Aku Studio 1

  1. Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang pendidikan anda?

Nama penuh saya Mohd Khairi bin Tajudin. Saya dilahirkan pada 2 September 1983 di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Saya mula bersekolah tadika di Tabika KEMAS Kg. Baru, Changlun. Kemudian, masuk sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun juga. Selepas UPSR, masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun (Changlun lagi!). Hanya selepas PMR, barulah saya diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar (45 minit dari Changlun!)

Selepas SPM, terus masuk UiTM Kampus Arau, ambil bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Saya belum memiliki cita-cita pada waktu itu. Tidak tahu arah tuju. Ambil Kejuruteraan Mekanikal kerana di sekolah dulu belajar jurusan Sains Teknologi. Itu sahaja alasan saya yang paling munasabah. Tidak minat pun untuk menjadi jurutera atau juruteknik.

Selepas habis Diploma, saya bekerja di kantin PLKN, UUM. Sepanjang tempoh itu, saya mengutip pengalaman pahit manis sebagai seorang ‘abang kantin’. Sebelum Subuh sudah bangun, pukul 12 tengah malam baru habis kerja. Budak-budak makan enam kali sehari. Bayangkan, berapa banyak gelas dan ‘tray’ yang saya kena basuh. Letihnya.

Selepas penat bekerja, barulah saya tahu nikmatnya belajar di universiti. Saya sambung semula pengajian peringkat ijazah di UiTM Shah Alam tapi bertukar kursus kepada HOTCAT (Pengurusan Perkhidmatan Makanan). Saya membawa cita-cita, selepas habis belajar nanti, saya mahu memiliki perniagaan makanan sendiri. Saya hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Sehingga kini, saya belum lagi merealisasikan cita-cita itu. Cuma saya mengutip lagi pengalaman bekerja sambilan di sebuah restoran makanan Barat. Dave’s Deli nama restoran itu. Sekarang, sudah tutup dan digantikan dengan nama baru.

 

  1. Apakah karier anda sebelum menjadi penulis?

Selepas tamat belajar, saya terus bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan Streamyx. Pendek cerita, saya ialah operator yang menjawab panggilan telefon daripada pengguna Streamyx yang mengalami masalah internet. Selama tujuh bulan saya bekerja di situ. Selepas itu, saya mengembara ke bumi orang selama empat bulan. Melihat dunia yang luas dan mengutip pengalaman yang lebih banyak.

Pulang dari perantauan, saya mula menternak kambing. Pada waktu itu, saya mula berfikir untuk bekerja sendiri dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan rumah yang terbiar dengan semak-samun. Namun begitu, rezeki daripada kambing tidak begitu mengujakan. Saya terpaksa jual semua kambing itu dan mula menternak ayam pula. Pendapatan daripada penternakan ayam agak menggalakkan. Sambutannya baik tetapi saya dan para penternak seluruh Malaysia terpaksa menghadapi wabak hawar (sampar) yang meragut nyawa unggas-unggas dari Johor sampai ke Perlis. Saya terkedu seketika.

Sewaktu saya mahu bangkit daripada peristiwa hawar itu, saya dihubungi oleh seorang kawan yang telah lama saya kenal sewaktu di UiTM iaitu Azlan. Azlan mempelawa saya untuk menulis buku. Dia cakap, dia suka baca blog saya dan dia yakin, saya boleh menulis buku. Pada masa yang sama, dia juga mempelawa saya menghubungi editor di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) untuk menghantar sinopsis. Pada waktu itu, saya rasakan bahawa saya sudah nampak ke mana hala tuju saya selepas ini!

 

  1. Bagaimanakah caranya anda terlibat dalam dunia penulisan?

Pada bulan Mac 2011, saya menghadiri kursus penulisan novel Islami yang dikendalikan oleh Tuan Haji Zakaria Sungib, seorang editor senior di GISB. Habis kursus, saya terus hantar sinopsis kepada editor perolehan, Tuan Amir Abdul Hamid. Setelah sinopsis dinilai, saya diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan manuskrip itu. Saya tidak membuang masa. Dalam masa tidak lebih daripada 20 hari, saya menyiapkan manuskrip pertama yang pada mulanya diberi nama GOL! Ia ialah sebuah novel berkenaan perjuangan anak-anak murid sekolah agama rakyat (SAR) memburu kejuaraan bola sepak tujuh sebelah. Saya mendapat idea itu berdasarkan pengalaman saya bekerja di SAR. Sekarang ini pun, saya masih lagi di sekolah itu. Nama sekolah terpaksa dirahsiakan untuk mengelakkan sebarang implikasi.

Maka, dalam masa tiga bulan selepas itu, terbitlah Tariq United yang menggantikan judul asalnya atas nasihat penyunting, Cik Liana Omar yang sangat berpengalaman. Selepas itu, saya terus mengorak langkah menulis novel seterusnya iaitu Budak Komik dan Budak U. Ketiga-tiga novel tersebut sudah berada di pasaran!

tu

  1. Bagaimana anda mendapatkan idea untuk menulis novel ‘Tariq United’?

Novel Tariq United saya tulis berdasarkan pengalaman saya sebagai guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah agama rakyat. Saya juga menjadi jurulatih pasukan tersebut untuk mengharungi kejohanan bola sepak antara sekolah-sekolah agama rakyat. Meskipun begitu, kisah dan watak-watak dalam Tariq United bukanlah menggambarkan watak dan cerita yang sebenar tetapi saya olah sehingga ia menjadi seperti drama yang menarik.

budak+komik.jpg

  1. Bagaimanakah anda mendapat idea untuk menulis novel ‘Budak Komik’?

Novel Budak Komik pula saya tulis berdasarkan pengalaman saya melukis komik dan menyertai pertandingan mencipta komik kreatif sewaktu di sekolah. Dalam novel ini, saya meminta rakan sekelas saya sewaktu di sekolah iaitu saudara Faris Mohd Hazmin untuk menyumbangkan lukisannya. Untuk pengetahuan semua, kaver novel dan ilustrasi di dalamnya dilukis oleh beliau.

cover-BU-1

  1. Bagaimana anda mendapat idea untuk menghasilkan novel ‘Budak U’?

Selepas bergandingan dalam novel Budak Komik, saya dan Faris bergandingan pula untuk menghasilkan novel berilustrasi ‘Budak U’. Ia adalah novel bersiri. Terdapat tiga siri semuanya. Di dalam novel ini, para pembaca akan menyaksikan ilustrasi yang banyak. Perjalanan kisah ‘Budak U’ saya ambil daripada pengalaman saya sendiri ketika belajar di universiti dengan sedikit olahan agar ia lebih menarik. Adik-adik yang berada di bangku sekolah wajar mendapatkan novel-novel ini sebagai persediaan awal untuk menanam cita-cita belajar di universiti.

Banyak lagi idea-idea saya yang belum saya tumpahkan ke atas kertas. Saya begitu teruja sekarang ini dan mahu terus menulis dan menulis! Anda semua, doakan kejayaan saya.:-)

 

  1. Bagaimana anda membahagikan masa untuk berkarya dengan tugas seharian yang lain?

Saya selalunya menulis selepas pulang dari tempat kerja. Kemudian, menyambungnya pada waktu malam. Pada masa-masa yang lain, sekiranya ada waktu terluang, saya akan memanfaatkannya untuk menulis. Setakat ini, bidang penulisan tidak mengganggu kerjaya saya sebagai guru dan kerjaya saya sebagai guru tidak menghalang saya untuk menjadi penulis.

 

  1. Dalam penghasilan sesuatu manuskrip novel, biasanya berapa lama memakan masa untuk disiapkan?

Saya menyiapkan manuskrip Tariq United dalam masa dua hingga tiga minggu. Begitu juga dengan novel Budak Komik. Bagi novel trilogi Budak U, saya menyiapkan ketiga-tiga manuskrip tersebut dalam masa empat bulan. Alhamdulillah, setakat ini saya masih mampu menyiapkan setiap manuskrip sebelum tarikh ‘due date’ yang ditetapkan oleh pihak penerbit.

 

  1. Apakah hala tuju penulis dalam membentuk minda pembaca dengan karya penulis?

Saya menerapkan nilai-nilai murni dalam karya saya. Saya mahu memastikan para pembaca mendapat manfaat dalam setiap karya saya. Selain itu, saya juga menyelitkan kaedah pemikiran ‘thinking out of the box’ dalam novel-novel saya. Misalnya, dalam novel Budak Komik, saya cuba memperjuangkan bakat pelajar dalam bidang grafik agar dimanfaatkan ke jalan yang sesuai dan betul.

 

  1. Bagaimana penulis membuat keputusan dalam membentuk idea penyampaian yang terbaik?

Saya selalu berbincang dengan editor, penyunting, para pembaca, rakan seperjuangan dan individu-individu yang saya percayai untuk membuat sesuatu keputusan. Daripada pendapat-pendapat mereka, saya membuat keputusan. Saya suka menggunakan konsep ‘ubat bersalut coklat’ iaitu menyampaikan sesuatu mesej yang bermanfaat dengan cara yang disukai oleh pembaca. Pembaca yang selalu membaca novel-novel saya akan memahami apa yang saya katakan ini.

 

paperbackstack_550x498 (3)dari idea menjadi duitnovel

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge