10 Soalan Bersama Penulis

Judul Buku : BUDAK U – BACK TO CAMPUS

Nama penulis: Khairy Tajudin
Tebal: 248 m/s
ISBN: 978-983-097-391-3
Harga: W/M:RM13.00 E/M:RM15.00

Soalan :

1. Pembaca ingin berkenalan dengan penulis. Cerita tentang latar belakang penulis.
Saya berasal dari Changlun, Kedah dan menetap di sini. Bekerja sebagai guru di sebuah sekolah agama rakyat di sini juga. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dari UiTM. Pernah belajar di SK Dato’ Wan Kemara, Changlun dan SMK Changlun sebelum ke SMS Tuanku Syed Putra, Perlis. Beminat melukis komik sejak di bangku sekolah tetapi Allah mentakdirkan menjadi novelis pada usia 28 tahun.

2. Ceritakan faktor tuan/puan/cik menulis buku/novel ini?
Novel ‘Back to Campus’ merupakan kesinambungan novel ‘Budak U’. Novel trilogi ini saya tulis berdasarkan pengalaman saya di UiTM. Banyak pengalaman pahit dan manis yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca. Semoga pembaca mendapat manfaat dan mengambil iktibar atas pengalaman saya itu.

3. Apakah kekuatan buku/novel tuan/puan/cik yang boleh diceritakan kepada pembaca?
Novel ini mendapat sentuhan ilustrasi sebanyak 30 halaman hasil buah tangan sahabat saya, Faris Mohd Hazmin. Ianya mengandungi unsur-unsur tarbiah yang bersulam jenaka. Jalan ceritanya menarik dan bahasanya santai. Selain itu, saya turut berkongi beberapa tips penting yang sesuai untuk pelajar sekolah menengah dan universiti.

4. Tulis pengalaman tuan/puan/cik semasa menulis.
Saya menulis ketiga-tiga buah novel dalam trilogi ini dalam masa empat bulan. Selepas siap satu siri, saya terus menulis siri yang seterusnya. Saya begitu seronok menulis kerana semua idea sudah ada dalam kepala. Cuma hendak turunkan saja ke atas papan kekunci. Back to Campus mengingatkan saya mengenai pengalaman bekerja sambil belajar perasaan sedih kehilangan motosikal.

5. Siapakah mentor tuan/puan/cik dalam bidang penulisan dan kenapa?
Saya menjadikan setiap penulis yang telah berjaya sebagai mentor saya, tidak kira sama ada dia popular atau tidak. Meskipun begitu, saya banyak mengikut tips-tips yang diberikan oleh editor GIMG terutamanya Tuan Haji Zakaria Sungib, Tuan Amir Abdul Hamid dan Tuan Azlan Ismail. Ini kerana, saya perlu menulis mengikut rentak penerbit yang mahukan bahan bacaan tarbiah berkualiti.

6. Boleh kongsikan 7 prinsip tuan/puan/cik semasa berkarya?

Menulis untuk berdakwah – membetulkan niat menulis, untuk mendapat keredhaan Allah swt melalui dakwah mata pena

Masa itu emas – jangan buang masa.

Nota adalah dompet – mana-mana idea perlu disimpan dalam fail supaya boleh menjadi rujukan pada masa akan datang.

Idea adalah rezeki – setiap idea yang datang dalam kepala, saya anggap kurniaan daripada Allah swt dan saya perlu memanfaatkannya.

Patuhi due date – sentiasa memastikan manuskrip sampai ke meja editor tepat pada masanya.

Jangan abai tanggungjawab – sentiasa yakin, sesibuk manapun saya, jangan lupa tanggungjawab sebagai umat Islam.

7. Promosikan buku tuan.
Marilah kita menyelusuri pengalaman pahit dan manis budak-budak U. Ketika anda berbuka dengan lauk-pauk yang enak, ingatlah, ada Budak U yang bersahur dan berbuka ala kadar. Kadangkala dengan mi segera sahaja. Saya juga tidak dapat melupakan peristiwa kehilangan motosikal saya yang terjadi pada bulan puasa. Dan, saya juga pernah bekerja di restoran pada bulan puasa (untuk menjamu pelanggan berbuka puasa).

8. Bagaimanakah pengurusan masa yang baik untuk seorang penulis separuh masa atau sepenuh masa?
Sebagai penulis separuh masa, kita kena ada jadual dan ketetapan kita sendiri. Untuk siapkan sebuah buku, letakkan tarikh, bilakah ia perlu disiapkan. Kemudian, tetapkan berapa halaman dalam satu hari yang mesti kita siapkan. Jika tidak cukup, qada pada hari yang lain supaya manuskrip siap cepat. Kegagalan menetapkan perkara ini akan menyebabkan manuskrip terbengkalai.

9. Tulis testimoni tentang buku-buku Galeri Ilmu yang pernah dibaca.
Semua buku Galeri Ilmu yang saya baca, bagus-bagus belaka. Bahasanya menepati Bahasa Melayu Tinggi yang diajar di sekolah. Pengisiannya menepati akidah ASWJ. Novel-novelnya mengandungi nilai tarbiah.

10. Harapan tuan/puan/cik dalam bidang penulisan di Malaysia.
Saya berharap agar kerjaya saya dalam bidang ini mampu menjadi asbab untuk saya maju dalam dakwah. Saya mahu mengelilingi seluruh dunia dan ceritakan setiap pengalaman saya. Saya menyeru para pembaca agar menyokong industri buku Malaysia dan menyokong usaha dakwah melalui penulisan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge